Pensyarah Kanan, Jabatan Pengajian Pentadbiran dan Politik, Universiti Malaya (UM), Dr. Mohammad Tawfik Yaakub.

KUALA LUMPUR – UMNO mempunyai peluang lebih cerah untuk memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota kerana memiliki kelebihan dari segi undi pos dalam kalangan anggota tentera dan polis.

Pemerhati politik, Dr. Mohammad Tawfik Yaakub berkata, sentimen sokongan dalam kalangan anggota tentera dan polis seperti ditunjukkan pada beberapa siri PRK sebelum ini jelas memihak kepada Kerajaan Perpaduan yang mana UMNO dan Barisan Nasional (BN) merupakan sebahagian daripadanya.

Sehubungan itu, ujar Pensyarah Kanan, Jabatan Pengajian Pentadbiran dan Politik, Universiti Malaya (UM) berkata, UMNO  tidak mempunyai kekangan dari segi memilih calon memandangkan sesiapa pun yang dipilih kelak mampu memberi kemenangan.

Bagaimanapun, beliau berpandangan UMNO tidak boleh berasa terlalu selesa dengan faktor-faktor yang dinilai memihak mereka ketika ini kerana persaingan boleh menjadi sengit sekiranya mereka gagal menguasai beberapa aspek antaranya sokongan masyarakat India.

“Bagi saya yang menentukan kemenangan kali ini ialah pengundi India dan undi pos tentera. Peluang besar ada pada BN (UMNO) kerana jumlah undi pos tentera yang ramai.

“Untuk Perikatan Nasional (PN) pula, mereka kena ada strategi kempen yang berkesan melalui media sosial dan bergantung kepada peratus keluar pengundi kaum Cina yang rendah,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini hari ini.

Berdasarkan Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) yang akan digunakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), daripada 66,318 pemilih bagi PRK DUN Mahkota, seramai 4,410 daripadanya ialah anggota tentera dan pasangan, manakala anggota polis seramai 401 orang.

Ditanya berkenaan isu-isu yang dijangka mendominasi PRK Mahkota, Mohammad Tawfik berkata, beliau menjangkakan UMNO akan menggunakan sepenuhnya kontroversi melibatkan Pengerusi PN, Tan Sri Muhiddin Yassin dengan Yang di-Pertuan Agong terdahulu, sebagai modal politik utama.

Ujarnya, UMNO akan cuba menggambarkan PN telah `menderhaka’ kepada institusi diraja sekali gus diharapkan dapat mengikis sokongan dalam kalangan orang Melayu terhadap gabungan politik itu.

“UMNO juga akan sebaik mungkin cuba menonjolkan kejayaan Kerajaan Perpaduan hari ini yang mana parti itu juga merupakan sebahagian daripadanya dalam mentadbir negara ke arah yang lebih baik,” katanya.

Sementara itu, bagi PN pula, ujar beliau, isu-isu nasional seperti penyasaran subsidi diesel dan kenaikan harga barang akan terus dijadikan modal politik memandangkan isu itu masih membelenggu rakyat ketika ini.

SPR sebelum ini menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Mahkota pada 28 September manakala tarikh penamaan calon dan pengundian awal masing-masing pada 14 dan 24 September depan.

PRK Mahkota diadakan susulan kematian penyandangnya, Sharifah Azizah pada 2 Ogos lalu akibat pendarahan dalaman ketika menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) di Kluang, Johor.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2022, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain yang juga calon BN memenangi kerusi DUN Mahkota dengan majoriti 5,166 undi dalam persaingan empat penjuru.

Sharifah Azizah menewaskan calon Pakatan Harapan (PH), Taqiuddin Cheman yang memperoleh 11,445 undi; calon Perikatan Nasional (PN), Mohamad Nor Lingan (7,614 undi) dan calon Warisan, Mohamed Noor Suleiman (555 undi). – MalaysiaGazette