V. Sivakumar.

KUALA LUMPUR – Perlindungan penuh daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) kepada pekerja gig merupakan satu pencapaian penting dalam usaha untuk menyokong pekerja dalam sektor itu.

Bekas Menteri Sumber Manusia V. Sivakumar yang memuji pengenalan Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) untuk pekerja gig berkata, beliau berbesar hati melihat hasrat melindungi kumpulan itu akhirnya menjadi kenyataan.

“Perkembangan ini merupakan satu pencapaian penting dalam usaha melindungi hak-hak pekerja dalam ekonomi gig yang berkembang pesat.

“Jumlah pekerja gig di Malaysia semakin meningkat, mengikuti trend global dan ramai pekerja kini memilih pekerjaan fleksibel untuk mencapai keseimbangan kerja dan hidup yang lebih baik,” katanya dalam kenyataan.

Inisiatif tersebut katanya, bukan sahaja memberikan perlindungan kepada pekerja gig tetapi juga menyokong pertumbuhan mampan ekonomi gig di Malaysia.

Ketika ini dianggarkan terdapat 1.3 juta pekerja gig di pelbagai platform dalam talian di Malaysia.

Cabaran utama yang dihadapi oleh pekerja gig menurut Sivakumar adalah kekurangan jaminan perlindungan yang diberikan kepada mereka.

“Perlu ditekankan bahawa pekerja gig tidak diklasifikasikan sebagai pekerja di bawah Akta Kerja 1955.

“Oleh itu, mereka tidak dilindungi di bawah Akta ini dan hanya dilabelkan sebagai pekerja gig, yang menyebabkan mereka tidak mempunyai perlindungan pekerjaan yang formal,” jelasnya.

Sementara itu beliau mencadangkan agar Perkeso memperluaskan lagi skop perlindungan yang merangkumi lebih banyak jenis pekerja gig dan meningkatkan kesedaran tentang kepentingan perlindungan sosial dalam kalangan pekerja gig.

Perkeso juga katanya, perlu bekerjasama rapat dengan syarikat-syarikat platform digital untuk memastikan pematuhan terhadap peraturan perlindungan sosial.

“Perluasan perlindungan Perkeso kepada pemandu Grab merupakan langkah penting dalam evolusi perlindungan sosial di Malaysia.

“Ini menunjukkan komitmen pihak berkuasa dalam menangani keperluan tenaga kerja moden dan meletakkan asas untuk perlindungan yang lebih komprehensif bagi semua pekerja gig pada masa hadapan,” katanya.

Perkeso sebelum ini menyasarkan sejuta pekerja sektor gig dan bekerja sendiri mencarum SKSPS pada tahun ini.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, sehingga kini lebih 500,000 pencarum aktif yang dilindungi menerusi skim berkenaan yang menyediakan pelbagai faedah sekiranya berlaku sebarang kejadian tidak diingini.-MalaysiaGazette