Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki

KUALA LUMPUR – Seramai 46 pegawai penguat kuasa disyaki terlibat sindiket yang membawa masuk warga asing menerusi modus operandi ‘counter setting’ di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) berikutan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerusi Ops Pump yang dijalankan baru-baru ini

Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki berkata, siasatan mendapati mereka disyaki terlibat dengan sindiket membawa masuk pekerja asing melalui kaunter-kaunter tertentu bagi memudahkan laluan masuk tanpa pemeriksaan yang mematuhi prosedur yang ditetapkan Jabatan Imigresen, hari ini.

Katanya, terdapat keterangan yang menunjukkan wujudnya pembayaran wang rasuah dan mereka bersubahat dengan pihak ejen menyebabkan warga asing terlibat mudah memasuki negara sebagai pelancong dan kemudian hilang, disyaki bekerja tanpa dokumen.

“Hari ini SPRM menggerakkan Ops Setting hasil daripada perkongsian maklumat perisikan antara agensi, dan telah menahan 13 individu termasuk dua penguat kuasa di KLIA kerana dipercayai terbabit rasuah melibatkan sindiket yang menggunakan modus operandi sama,” katanya.

Menurut Azam, kesemua suspek lelaki berusia lingkungan 20-an hingga 50-an ditahan hari ini dalam operasi di sekitar Lembah Klang dan dibawa ke pejabat SPRM Kuala Lumpur untuk membantu siasatan.

Tambah beliau, dua suspek penguat kuasa tersebut disyaki terlibat dengan perbuatan itu sejak tahun 2016 dengan menerima bayaran rasuah antara RM300 sehingga RM2,500 untuk setiap warga asing yang masuk mengikut kewarganegaraan.

Katanya, turut ditahan adalah sembilan orang ejen dan dua proksi yang menjadi pemegang aset bagi pihak suspek penguat kuasa.

“Pasukan khas telah ditubuhkan untuk merakam percakapan pegawai-pegawai penguat kuasa yang disyaki bagi membantu siasatan dan tidak menolak kemungkinan akan ada tindakan susulan serta tangkapan lain dalam masa terdekat,” katanya.

Azam menjelaskan, hasil serbuan membawa kepada penyitaan  wang tunai berjumlah kira-kira RM50,000.

Katanya, kes disiasat di bawah seksyen 16 Akta SPRM 2009 dan suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, esok bagi permohonan reman.

Semalam seorang warga Myanmar yang merupakan ejen sindiket dituduh di Mahkamah Sesyen Shah Alam di bawah seksyen 16(b)(B) Akta SPRM 2009 kerana memberi rasuah sebanyak RM5,650 kepada penguat kuasa Imigresen sebagai upah melepaskan kemasukan sembilan orang warga Myanmar melalui pintu masuk KLIA2 tanpa melalui prosedur yang ditetapkan. – MalaysiaGazette