Bangunan Wisma Putra Kementerian Luar Negeri di Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 18 APRIL 2022.

KUALA LUMPUR – Setakat ini tiada rakyat Malaysia yang dilaporkan terlibat atau terjejas dengan Taufan Shanshan yang telah mendarat di Kepulauan Kyushu, Jepun pagi tadi.

Kementerian Luar Negeri, melalui Kedutaan Besar Malaysia di Tokyo, sedang memantau dengan teliti perkembangan Taufan Shanshan yang telah mendarat di Kepulauan Kyushu pagi tadi.

Taufan Shanshan dijangka bergerak ke arah barat daya Jepun sebelum menuju ke arah utara dan melintasi kawasan pertengahan Jepun seperti Wilayah Kanto (termasuk Tokyo) dalam beberapa hari akan datang.

“Sehingga jam 4 petang waktu tempatan pada 29 Ogos 2024, tiada rakyat Malaysia yang dilaporkan terlibat atau terjejas oleh taufan tersebut.

“Rakyat Malaysia di kawasan yang terjejas dinasihatkan untuk terus berwaspada dan mengikuti perkembangan serta panduan terkini yang diberikan oleh pihak berkuasa tempatan.

Katanya, rakyat Malaysia yang masih belum mendaftar serta mengemaskini keberadaan dan maklumat mereka adalah amat digalakkan untuk berbuat sedemikian di https://ekonsular.kln.gov.my.

Mereka yang memerlukan bantuan konsular boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Tokyo melalui butiran yang disediakan di bawah:

KEDUTAAN BESAR MALAYSIA DI TOKYO
Alamat: 20-16, Nanpeidai-cho Shibuya-ku 150-0036 Tokyo
No. Telefon: +81-3-3476-3840, +81-80-4322-3366 (kecemasan)
E-mel: [email protected]
[email protected]

– MalaysiaGazette