ALOR GAJAH – Seorang pengawal keselamatan direman tujuh hari kerana disyaki merogol dua anak perempuannya berumur 14 dan 17 tahun termasuk menjadikannya hamba seks sejak tiga tahun lalu.
Perintah reman terhadap suspek bapa berusia 39 tahun itu yang juga bapa kepada tiga anak dikeluarkan Majistret Dr Teoh Shu Yee bermula hari ini, bagi membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan.
Kesalahan itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan 10 sebatan maksimum, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Melaka Datuk Md Nazri Zawawi berkata, mangsa anak sulung daripada tiga beradik berusia 17 tahun 11 bulan mendakwa telah beberapa kali dirogol bapanya itu.
Kejadian berlaku tanpa kerelaannya di rumahnya di Kampung Panchor, Durian Tunggal sejak mangsa berusia 14 tahun.
“Pada 2018, semasa pengadu berusia 12 tahun bapa kandungnya telah memasukkan jari ke dalam kemaluannya beberapa kali dan merogolnya tanpa kerelaaan sejak berusia 14 tahun.
“Mangsa bagaimanapun tidak menceritakan kejadian itu kepada sesiapa sehinggalah mendapat tahu adik perempuannya berusia 13 tahun turut menjadi mangsa seks bapa kandungnya itu sejak Julai lalu.
“Kejadian terbongkar selepas adiknya pelajar Tingkatan 1 menceritakan kejadian itu kepada kawan baiknya sebelum rakannya itu memaklumkannya kepada guru yang kemudian meminta ibunya dan dua anaknya itu datang ke sekolah 9 pagi semalam,” katanya.
Menurutnya selepas didesak, mangsa menceritakan kejadian pertama berlaku pada awal Julai lalu, semasa mangsa berada di rumah, bapanya telah menyuruhnya mengurut kakinya.
“Beberapa minggu kemudian, sewaktu mangsa baru balik dari sekolah, suspek menyuruh mangsa mandi sebelum memanggilnya masuk ke biliknya dan merogol remaja itu tanpa kerelaannya.
“Selepas kejadian, mangsa tidak menceritakannya kepada sesiapa kerana takut dimarahi bapanya yang meminta supaya tidak menceritakan kejadian itu kepada sesiapa termasuk ibunya yang bekerja sebagai tukang cuci,” katanya. – MalaysiaGazette