Bas persiaran terbakar di Seksyen U10, Shah Alam.

KUALA LUMPUR – Sebuah bas persiaran terbakar ketika dalam perjalanan mengambil penumpang di Persiaran Mohtar Dahari Seksyen U10, Shah Alam berhampiran Alam Budiman.

Timbalan Ketua Polis Daerah Shah Alam, Superintenden Ramsay Anak Embol berkata, semakan mendapati kejadian itu berlaku sekitar jam 3 petang semalam.

“Kejadian berlaku ketika bas dipandu seorang lelaki tempatan  sedang dalam perjalanan dari Puncak Perdana menuju ke Meru untuk mengambil penumpang.

“Semasa dalam perjalanan, pemandu telah terbau hangit dan mendapati terdapat kepulan asap dari bahagian belakang bas tersebut.

“Kemudian dia segera mencari tempat selamat untuk berhenti di bahu jalan bagi pemadam api,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Tambah beliau, sepasukan bomba bersama tiga jentera serta anggota polis dari Balai Polis Jelutong Jelutong dan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Shah Alam telah bergegas ke tempat kejadian untuk mengawal keadaan.

Bagaimanapun, kebakaran itu berjaya dikawal tanpa melibatkan  sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa. – MalaysiaGazette