Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Majlis Amanat Perdana Hari Kebangsaan 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). Foto SADIQ SANI, 30 OGOS 2024

PUTRAJAYA – Kehilangan negara ke atas Pulau Batu Puteh merupakan pengkhianatan yang dianggap sebagai satu kecuaian, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, ini kerana tiada negara yang sanggup kehilangan satu inci tanah waima batu kecil kepada negara lain.

“Kita terima kenyataan termasuk keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ). Ia kepulauan kecil tapi kerana kecuaian kita, kecuaian itu bawa pengkhianatan kepada negara.

“Mana ada negara di dunia yang lepaskan kawasan dengan mudah, negara-negara berperang kehilangan ribuan nyawa hanya untuk pertahankan wilayah kecil,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Amanat Perdana Hari Kebangsaan 2024, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, di sini, hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika hadir pada Majlis Amanat Perdana Hari Kebangsaan 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). Foto SADIQ SANI, 30 OGOS 2024

Mengulas lanjut, Anwar berkata, ada sebab kerajaan bersetuju Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan bagi Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan di Parlimen.

Perdana Menteri menjelaskan, ia bagi mengetahui bagaimana Batu Puteh itu boleh hilang kepada negara lain.

“Sebab itu kita akan bentangkan di Parlimen dan izinkan perbahasan di Parlimen.

“Kita mahu isu ini dijadikan iktibar bahawa negara ini terbentuk dengan pahit getir dan darah pejuang selama ratusan tahun melawan penjajah demi penjajah.

“Sudah terlanjur tetapi pengajaran mesti dan wajib,” katanya.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said memaklumkan laporan RCI bagi mengkaji isu Batu Puteh sudah dibentangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri oleh pengerusinya, Tun Md Raus Sharif.

Ujarnya, Jemaah Menteri amat prihatin terhadap isu kedaulatan negara dan membuat keputusan supaya laporan suruhanjaya itu dibentangkan di Parlimen.

Pada 23 Mei 2008, ICJ memutuskan Singapura mempunyai hak terhadap Batu Puteh, manakala Batuan Tengah yang letaknya kurang satu kilometer (km) dari pulau itu milik Malaysia.

ICJ juga memutuskan hak milik Tubir Selatan, kira-kira 4 km dari Batu Puteh, akan ditentukan mengikut persempadanan perairan negara yang menguasainya. – MalaysiaGazette

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Majlis Amanat Perdana Hari Kebangsaan 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). Foto SADIQ SANI, 30 OGOS 2024