Pasukan SAR turut menggunakan alatan yang dipercayai autonomous underwater vehicle (AUV) di khemah operasi mencari dan menyelamat mangsa tanah jerlus di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 29 OGOS 2024

KUALA LUMPUR- Pasukan penyelam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) masih gagal menemui sebarang objek mahu pun petunjuk baharu selepas melakukan selaman di dalam saluran kumbahan berhampiran lokasi kejadian tanah jerlus, awal pagi tadi.

Tinjauan MalaysiaGazette sejak 3 pagi tadi mendapati dua penyelam skuba mula turun ke lubang saluran kumbahan kira-kira jam 4 pagi.

Mereka cuba mencari objek yang dipercayai tersekat di dalam saluran berkenaan, kira-kira 44 meter dari lokasi kejadian.

ARTIKEL BERKAITAN

https://malaysiagazette.com/2024/08/28/bomba-kesan-objek-tersekat-antara-lokasi-tanah-jerlus-dan-lurang-kumbahan/

https://malaysiagazette.com/2024/08/29/tanah-jerlus-masjid-india-selaman-pertama-ppda-20-minit/

Bagaimanapun, selaman selama hampir 30 minit itu gagal membuahkan sebarang hasil.

Menurut salah seorang anggota SAR, penyelam berdepan cabaran batu dan pasir yang banyak di dalam saluran kumbahan tersebut.

Selain itu, mereka juga perlu berlawan dengan arus deras yang menyukarkan usaha untuk ke kawasan objek tersekat tersebut.

Terdahulu, pasukan SAR melakukan sistem sokongan sementara atau shoring secara manual.

Kerja-kerja itu dilakukan Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Pada 11.20 malam tadi, sebuah kren dilihat tiba di lokasi kejadian dan menarik sesuatu dari lubang jerlus itu selain menurunkan pam berkuasa tinggi 10,000 dan 20,000 liter untuk mengepam keluar air dari saluran kumbahan tersebut.

Turut kelihatan di lokasi kejadian bagi meninjau operasi SAR pagi ini ialah Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Datuk Nor Hisham Mohammad serta Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Sulizmie Affendy Sulaiman.

Operasi SAR ditangguhkan jam 5 pagi tadi dan akan disambung semula pagi ini.- MalaysiaGazette