KUALA LUMPUR – Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai mengingatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar tidak sekadar bercakap tanpa bertindak dalam usaha memerangi rasuah.
Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) itu berkata, sekiranya Anwar benar-benar bertekad untuk membanteras rasuah, beliau seharusnya memulakan siasatan terhadap rakan-rakannya sendiri.
Tegas beliau, mana-mana individu yang terlibat dalam rasuah atau penyalahgunaan kuasa, tidak kira kedudukan mereka, harus dikenakan tindakan undang-undang.
“Semua orang tahu ada seorang pemimpin yang terlibat dalam rasuah dan penyalahgunaan kuasa berada di sisinya, namun tiada tindakan diambil oleh Anwar.
“Jika menggunakan penyapu dan tong sampah boleh membersihkan rasuah, saya ingin mengucapkan tahniah kepada Kerajaan Perpaduan.
“Tarian anti-rasuah semasa sambutan Hari Kebangsaan memang unik, tetapi sayangnya, apa yang Anwar tonjolkan hanyalah semangat luaran tanpa kekuatan sebenar,” katanya dalam kenyataan.
Dominic berkata, Anwar menekankan untuk membetulkan keseluruhan budaya rasuah, mungkin memerlukan masa, tetapi ia harus dimulakan dengan menangani ‘ikan besar’ terlebih dahulu kerana menangani ‘ikan kecil’ tidak akan membawa kesan yang besar.
“Hanya dengan tindakan tegas dan kuat terhadap rasuah, barulah kita dapat membina ekosistem politik dan perniagaan yang bersih.
“Persoalannya adalah, adakah Anwar mempunyai keberanian untuk melakukannya? kata Dominic.
Dalam pada itu Dominic mempersoalkan sikap Anwar yang ketika beliau dipecat daripada jawatan Timbalan Presiden UMNO dan Timbalan Perdana Menteri oleh Tun Dr Mahathir Mohamad pada tahun 1998.
Dakwanya, ketika itu Anwar pernah menyatakan beliau mempunyai enam kotak dokumen rahsia yang boleh mensabitkan pegawai-pegawai tinggi negara.
Bagaimanapun katanya, selepas 26 tahun berlalu, Anwar tidak berani untuk menyebut semula kotak dokumen itu, justeru timbul persoalan di mana kesungguhannya untuk membanteras rasuah.
Dominic mencadangkan agar Kerajaan Perpaduan mencontohi sistem akauntabiliti negara jiran, Singapura apabila seorang menteri yang didakwa perlu meletakkan jawatan dan mengembalikan semua gaji yang diterima selepas siasatan dimulakan, walaupun di mahkamah mereka menafikan bersalah.
“Berbeza dengan Malaysia, ahli politik yang didakwa sering menganggap diri mereka sebagai mangsa.
“Anwar berharap rakyat dapat menyokong komitmennya untuk membanteras rasuah. Semua rakyat, termasuk Gerakan, boleh memberinya peluang.
“Tetapi beliau mesti menunjukkan keikhlasan. Jangan memerangi rasuah dengan memalukan diri sendiri,” ujarnya. – MalaysiaGazette