KUALA LUMPUR – Jaminan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution adanya penyiasatan berhubung sindiket pemerdagangan manusia dengan dakwaan penglibatan seorang mantan timbalan menteri diterima baik Pertubuhan Kemanusian Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO).
Setiausaha MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, ini kerana pendedahanberkaitan kes pemerdagangan manusia semakin menjadi-jadi dan pada tahap membimbangkan.
Dakwaan adanya hubung kait pemimpin politik dalam perkara itu juga mengejutkan pelbagai pihak sejak kebelakangan ini.
“Kita sangat hargai komitmen dan juga tindakan pantas daripada pihak berwajib, rakyat mahukan jawapan kepada dakwaan-dakwaan itu apatah lagi apabila adanya media antarabangsa yang buat dakwaan seperti ini.
“Siasatan ini bagus, kita tidak mahu isu-isu seperti ini lagi-lagi apabila ramai dalam kalangan rakyat kita sendiri yang menjadi mangsa sindiket di Myanmar, buat iklan kerja kosong tapi akhirnya diseludup dipaksa melakukan kerja-kerja scammer.
“MHO tidak tampil membuat kenyataan sensasi atau mahukan publisiti melalui isu ini. Umum sendiri maklum berapa banyak kes sejak beberapa tahun ini, kita tampil bantu mangsa-mangsa pemerdagangan ini kembali ke pangkuan keluarga, igauan dan mimpi ngeri ini perlu berakhir dengan adanya tindakan pihak berwajib,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Baru-baru ini MHO membuat aduan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tentang dakwaan wujudnya penglibatan aktif seorang ahli politik dengan kumpulan sindiket pemerdagangan manusia yang banyak terlibat dengan aktiviti-aktiviti jenayah di Myanmar.
Aduan itu susulan klip dari dokumentari YouTube Indonesia bertajuk ‘Neraka Perbatasan: Jejak Mafia Judi Online dan Perbudakan Digital di Asia’ berdasarkan siasatan rentas sempadan itu antara lain menunjukkan gambar pemimpin politik berkenaan bersama sekumpulan individu yang didakwa ada kaitan dengan sindiket.
Semalam, Saifuddin memaklumkan polis telah membuka kertas siasatan terhadap ahli politik berkenaan susulan laporan media asing bulan lepas dan beliau sepenuhnya meletakkan kepercayaan terhadap profesionalisme pihak berkuasa apabila mereka sudah membuka fail tentang perkara itu.
Khamis lepas sebuah NGO di Myanmar yang mendedahkan dakwaan sindiket pemerdagangan manusia itu menyambut baik laporan awal yang memetik Ketua Polis Negara, Razarudin Husain mengesahkan siasatan telah dimulakan sejak Julai lalu.
Dalam pada itu, Hishamuddin juga akan membuat sidang media berkaitan dakwaan seorang individu mengenai salah seorang ahli keluarganya telah diculik dan diseludup ke luar negara oleh satu kumpulan pemerdagangan manusia selain permintaan tebusan sebanyak RM100,000.
“Mangsa telah diikat gari, di pukul sebelum gambar dihantar kepada keluarganya untuk tebusan. Kita akan buat sidang media dengan keluarga pada minggu depan. Inilah realiti pahit yang kita perlu terima berhubung betapa dahsyatnya sindiket-sindiket ini bermaharajalela,” ujarnya. -MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
MHO terkejut ahli politik terlibat sindiket pemerdagangan manusia di Myanmar