Prof. Dr. Solehah Yaacob. Foto: FB Muhammad Sanusi Md Nor.

KUALA LUMPUR – Prof. Dr. Solehah Yaacob menafikan kononnya beliau mendakwa isteri Nabi Muhammad SAW, Sayidatina Siti Khadijah Khuwailid RA berasal dari alam Melayu.

Katanya, dalam ceramah bertajuk Peranan Wanita Islam di Bumi Melayu itu beliau hanya menyebut mengenai catatan bahawa alam Melayu pernah memberi emas kepada Tanah Hijaz.

Profesor dari Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) itu berkata, terdapat pihak yang telah membuat suntingan terhadap ceramah beliau dan ditularkan di media sosial.

“Saya tidak pernah menyebut Khadijah berasal dari Tanah Melayu. Tajuk video ‘Khadijah al-Khuwailid adalah dari alam Melayu’ hanya dibuat oleh individu yang cut atau potong sebahagian daripada video ceramah saya.

“Saya cuma membuka persoalan minta para pendengar berfikir, sebelum ni pun dah banyak perkara yang saya lontarkan dipandang hina oleh sebahagian netizen seperti perkataan calah, pedang nabi, Keturah tapi apabila saya mendatangkan data-data ilmiah mereka terdiam dan bersetuju.

“Ada pun Sayidatina Khadijah isteri baginda Rasulullah SAW ini saya tidak mengatakan baginda dari alam Melayu, cuma beberapa catatan menyebut Alam Melayu pernah membantu memberi emas kepada Tanah Hijaz,” katanya menerusi kenyataan di media sosial.

Beliau menjelaskan, melalui catatan klasik menunjukkan orang Melayu memainkan peranan di bumi Arab.

“Peristiwa ini sudah lama berlaku semenjak zaman Nabi Ibrahim AS lagi. Bagi mereka yang kurang menelaah atau tidak pernah tahu beberapa catatan klasik mengaitkan peranan orang Melayu yang cukup besar di bumi Arab.

“Nasihat saya kita jangan cepat melatah terhadap maklumat yang pelik di telinga kita, kemungkinan kita pun kurang mengkaji dan menelaah. Terima kasih atas pandangan,” jelas beliau.

Sebelum ini ditularkan video ceramah Solehah yang turut menyentuh Siti Khadijah seorang wanita pedagang kaya yang dinikahi Nabi Muhammad.

MalaysiaGazette sebelum ini melaporkan, Solehan tersentak dengan dakwan yang dibuat oleh beberapa pihak dan disebarkan di TikTok (VTT) kononnya Siti Khadijah berasal dari alam Melayu.

Menurut beliau, pengkaji di negara-negara Arab tidak pernah menulis biodata Siti Khadijah secara terperinci.

“Beliau adalah seorang wanita paling kaya di Kota Mekah. Saya bila melihat VTT, banyak saya tengok, mereka katakan Khadijah itu dari alam Melayu.

“Saya rasa tersentak dengan pandangan itu. Sebab dalam pencarian saya penulis-penulis Arab tak menulis dengan terperinci siapa Khadijah ini. Maklumat setakat itu sahaja. Tiba-tiba kita dapat daripada alam Melayu, Khadijah adalah daripada sini.

“Kita kena maklum beliau seorang kaya. Mempunyai perniagaan yang besar. Untuk mempunyai perniagaan yang besar pada ketika itu anda perlu memiliki emas. Sebab dia tak ada forex, bitcoin. Dia kena ada satu yang diminati oleh semua orang di atas dunia ini iaitu emas,” katanya.

Dalam video tersebut, beliau menyebut alam Melayu kaya dengan emas, besi dan timah.-MalaysiaGazette

 

ARTIKEL BERKAITAN

Tular dakwaan isteri Nabi Muhammad, Siti Khadijah dari alam Melayu

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast