KUALA LUMPUR – Adakah isteri Nabi Muhammad SAW, Sayidatina Siti Khadijah Khuwailid RA berasal dari alam Melayu?
Profesor dari Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) Prof. Dr. Solehah Yaacob tersentak dengan dakwaan yang dibuat oleh beberapa pihak dan disebarkan di TikTok (VTT).
Menurut beliau, pengkaji di negara-negara Arab tidak pernah menulis biodata Siti Khadijah secara terperinci.
“Memang beliau adalah seorang wanita paling kaya di Kota Mekah. Saya tengok banyak VTT yang mengatakan Khadijah itu dari alam Melayu. Saya rasa tersentak dengan pandangan itu.
“Sebab dalam pencarian saya penulis-penulis Arab tak menulis dengan terperinci siapa Khadijah ini. Maklumat setakat itu sahaja. Tiba-tiba kita dapat pula (pendapat mengatakan beliau) daripada alam Melayu, Khadijah adalah daripada sini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu forum bertajuk Peranan Wanita Islam di Bumi Melayu.
“Kita kena maklum beliau seorang kaya. Mempunyai perniagaan yang besar. Untuk mempunyai perniagaan yang besar pada ketika itu anda perlu memiliki emas. Sebab dia tak ada forex, bitcoin. Dia kena ada satu yang diminati oleh semua orang di atas dunia ini iaitu emas.
“Emas tidak ada di bumi Arab. Emas ada di mana? Di tempat kita. Kita ini bumi emas. Orang lain sudah lama tahu bumi kita ini bumi emas. Kita sahaja tak tahu siapa kita. Orang kaji kita dari rambut sampai ke kaki. Kita tak tahu pun orang kaji kita,” tambah beliau.
Dalam video yang ditularkan di media sosial oleh beberapa pihak, pakar dalam falsafah nahu bahasa Arab dan pemikiran linguistik itu berkata, apabila menyebut mengenai tokoh wanita Islam itu beliau perlu kaitkan dengan Tamadun Sungai Batu.
“Saya sebut pada tokoh wanita Islam ini, saya kena kaitkan dengan Tamadun Sungai Batu. Bila sebut pasal emas ia adalah kita. Bila sebut pasal besi masya-Allah ia adalah kita. Sebut pasal timah ia adalah kita.
“Penemuan Prof Mokhtar di Sungai Batu, carbon dating paling awal dijumpai ialah 788 BCE, ini zaman Nabi Ayub. Sebelum Nabi Ayub kita ada Nabi Sulaiman 980 BCE atau sebelum masihi,” katanya.
Bagaimanapun ada pihak tidak senang apabila isteri Nabi Muhammad itu dikaitkan dengan alam Melayu yang didakwa menyelewengkan fakta.
Khadijah seorang wanita pedagang yang kaya, bernikah dengan Nabi Muhammad ketika Baginda berumur 25 tahun, manakala umur Khadijah pula ketika itu adalah 15 tahun lebih tua daripada Baginda SAW.- MalaysiaGazette
ARTIKEL TERKINI
Prof. Solehah nafi dakwa Siti Khadijah dari alam Melayu, ceramah disunting