Dominic Lau Hoe Chai

KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan semua agensi berkaitan perlu mempercepatkan pemeriksaan kawasan berisiko tinggi mendapan tanah di Kuala Lumpur susulan kejadian tanah jerlus di Masjid India sebagai usaha mengenal pasti jenis geologi dalam memastikan keselamatan bandar.

Presiden Parti Gerakan (Gerakan), Senator Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai berkata, pembangunan pesat selama lebih dari 100 tahun telah menyebabkan perubahan spesifik dalam bentuk muka bumi dan landskap di ibu negara.

Katanya, walaupun tidak dapat mencegah pembentukan mendapan tanah sepenuhnya, setidak-tidaknya mendapan tanah boleh diurus secara sistematik.

“Pada masa akan datang, pihak berkuasa mesti melakukan kajian menyeluruh sebelum meluluskan sebarang rancangan pembangunan.

“Sebelum berbuat demikian, kawasan berisiko tinggi atau berbahaya mesti dikenal pasti dengan tepat untuk mencegah dan mengurangkan risiko insiden,” katanya dalam kenyataan.

Dominic berkata, pihak berkuasa tempatan tidak boleh hanya memberi tumpuan kepada keadaan jalan dan permukaan di kawasan pelancongan sahaja sebaliknya, perlu mengkaji sama ada pemantauan atau pengesanan boleh ditingkatkan di sesuatu kawasan.

Langkah itu katanya, bagi memastikan semua lubang di kawasan perumahan atau jalan raya di seluruh negara dapat diperbaiki dengan segera, seterusnya mengurangkan risiko.

Selain itu beliau berkata, Kuala Lumpur adalah kawasan yang terkenal dengan bencana alam dan dengan perubahan iklim yang semakin meningkat, bencana alam seperti mendapan tanah, banjir kilat, tanah runtuh dan aliran lumpur akan terus berlaku.

“Stesen transit LRT Masjid Jamek di pusat bandar pernah ditutup pada tahun 2020 akibat banjir…pihak majlis perbandaran (DBKL) perlu meningkatkan kemudahan pencegahan untuk mengurangkan risiko dan kerosakan akibat banjir serta memperkukuhkan kestabilan tanah.

“Walaupun mendapan tanah tidak dapat dicegah sepenuhnya, ianya boleh diurus secara sistematik dengan mengenal pasti kawasan berisiko tinggi dengan tepat. Dari struktur binaan bandar hingga susunan politik, semuanya perlu dikaji semula secara menyeluruh dan sekali gus untuk memperkukuhkan kedudukan Kuala Lumpur sebagai ibu kota negara kita,” ujarnya

Dalam pada itu Dominic mencadangkan, agar kerajaan mengkaji penggunaan sonar atau seismometer untuk pemetaan bagi melukis keadaan tanah di kawasan yang dianggap berisiko tinggi.

Langkah itu katanya, boleh dilakukan terutamanya terhadap di tempat penduduk yang tinggal berhampiran dengan kawasan yang mengalami mendapan tanah.

“Mereka itu sangat ingin tahu sama ada tanah di kawasan yang mereka duduki selamat atau tidak, kerana kegelisahan mereka tidak mendapat jawapan yang jelas. Secara alami mereka akan meragui keselamatan kawasan kediaman mereka,” ujarnya.

Dominic menjelaskan, Kuala Lumpur pada awalnya adalah kawasan perlombongan timah dan kini menjadi kawasan dengan populasi yang sangat tinggi.

Katanya, lokasi kejadian tanah jerlus baru-baru ini berada di persimpangan sungai utama, yang menyebabkan kemungkinan tanah bawah permukaan menjadi kosong akibat hakisan oleh air bawah tanah.

“Tambahan lagi, dalam seminggu yang lalu, sekurang-kurangnya tiga kejadian mendapan tanah berlaku di Kuala Lumpur, yang telah menimbulkan kebimbangan penduduk tempatan terhadap keselamatan struktur.

“Insiden tanah jerlus adalah satu tragedi dan juga merupakan amaran yang perlu diberikan perhatian oleh kerajaan.

“Saya berharap keluarga mangsa tabah menghadapi dugaan ini. Bagi mereka yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat, saya mewakili Gerakan ingin mengucapkan penghargaan dan terima kasih atas usaha mereka.” tambahnya. – MalaysiaGazette

 

1 Komen

Comments are closed.