Balveer Singh sebahagian daripada arak tiruan yang dirampas dalam dua serbuan melibatkan dua kilang, selepas sidang akhbar di Balai Polis Tampoi, Johor Bahru, hari ini

JOHOR BAHRU – Polis menumpaskan Geng Ah Meng yang memproses dan menjual araak tiruan untuk pasaran tempatan selepas melakukan serbuan di dua buah kilang di sini kelmarin.

Serbuan tersebut dilakukan sepasukan Unit Risik Marin (RUM) Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua dan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, serbuan pertama dilakukan di Taman Johor pada pukul 3 petang kelmarin dan kedua di Taman Kempas Utama pukul 4.30 petang semalam.

“Hasil serbuan pertama polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 50 tahun dan merampas 564 kotak minuman keras pelbagai jenama dan dua buah tong plastik kosong 200 liter warna biru.

“Pihak polis turut merampas empat unit pam elektrik bersera hose, sebungkus pelekat ‘duty paid’ kastam, dua bungkus pelekat botol pelbagai jenama dan dua kotak penutup pelbagai.

“Rampasan termasuk satu kunci pintu kawalan jauh dan satu telefon bimbit jenis OPPO 125G. Nilai rampasan dianggarkan RM850,000,” katanya dalam sidang akhbar di Balai Polis Tampoi, di sini, hari ini.

Katanya, hasil risikan daripada maklumat diperolehi, Bahagian Siasatan Jenayah Daerah IPD Johor Bahru Utara kemudian menjalankan serbuan di sebuah lagi kilang di Taman Kempas Utama.

Balveer Singh berkata, dua lelaki tempatan berusia 44 dan 47 tahun ditahan dan rampasan turut dibuat ke atas sebuah lori tiga tan, lima kereta, sejumlah pelekat ‘duty paid’, empat mesin penekan botol, 18 bungkusan pelekat botol arak jenama terkemuka dan dua pelekat cukai kastam.

Menurut beliau, semua rampasan pada serbuan kedua itu dianggarkan bernilai RM400,000.

Katanya, hasil ujian saringan awal air kencing mendapati ketiga-tiga suspek yang terbabit dalam aktiviti memproses arak tiruan itu negatif dadah dan seorang daripada suspek mempunyai rekod jenayah lampau di bawah kesalahan Akta Pertaruhan.

“Suspek pertama kini dalam tahanan reman selama tujuh hari sehingga Isnin depan, manakala dua lagi suspek direman sepuluh hari sehingga Jumaat depan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 76 Akta Eksais 1976,” jelasnya.

Kata Balveer Singh, pihaknya kini giat mengesan dua lagi suspek masing-masing lelaki tempatan berusia 48 dan 50 tahun yang mana seorang daripadanya disyaki ketua sindiket.

“Dua lelaki ini dipercayai dapat membantu siasatan, namun mereka telah melarikan diri. Mereka telah disenarai hitam dan tindakan mengesan mereka masih diteruskan,” katanya.- MalaysiaGazette