Syed Hussien menyantuni peniaga semasa berkempen di Gerai MPK, Taman Makmur, Kluang, hari ini

KLUANG – Peluang Barisan Nasional (BN) mempertahan kerusi dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota tidak terjejas dengan isu sijil halal dimainkan Perikatan Nasional (PN).

Calon BN, Syed Hussien Syed Abdullah percaya, isu berkenaan tidak akan menjadi sentimen yang akan mempengaruhi pengundi termasuk orang Cina apatah lagi ia bukan isu setempat.

“Bagi saya, masing-masing ada pendapat sendiri berhubung isu yang sedang berlegar ini.

“Tapi di peringkat kawasan, kami tak mempunyai masalah dengan mereka kerana kita tahu perkara ini telah diperincikan oleh peringkat atasan.

“Sebagai calon, mendekati pengundi adalah perkara pokok untuk kita teruskan sepanjang kempen kali ini,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas menyantuni peniaga di Gerai Majlis Perbandaran Kluang (MPK), Taman Makmur, di sini hari ini.

Beliau mengulas sama ada isu pensijilan halal tersebut memberi kesan kepada kempen BN untuk mendapatkan sokongan kaum Cina di DUN Mahkota.

Ini susulan isu mewajibkan sijil halal ke atas premis makanan menjadi tumpuan orang ramai juga melibatkan ahli politik termasuk pertikaian antara pemimpin UMNO dan DAP.

Syed Hussien yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kluang berkata, pihaknya lebih memberi tumpuan terhadap pendekatan kempen secara bersemuka.

Katanya, masyarakat pengundi lebih memerlukan sentuhan terus berbanding program-program ceramah dalam skala besar.

“Mereka mahu kita dengar apa pandangan peribadi yang mereka harap untuk PRK kali ini. Kempen melalui media sosial juga diberi perhatian sewajarnya,” katanya.

PRK Mahkota menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Kerajaan Perpaduan daripada BN dan PN.

BN mempertaruhkan Syed Hussien, manakala PN diwakili Mohamad Haizan Jaafar, 61.

PRK Mahkota diadakan berikutan berlaku kekosongan luar jangka kerusi tersebut susulan kematian penyandang kerusi DUN Mahkota, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 64, pada 2 Ogos lalu.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast