Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan bercakap kepada wartawan ketika sidang mengenai kejayaan menumpaskan sindiket dan rampasan dadah di Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang, Selangor. Foto SADIQ SANI, 12 OGOS 2024

KUALA LUMPUR – Polis akan melakukan penutupan jalan membabitkan Lebuhraya Baru Pantai Expressway (NPE) dan Lebuhraya Sungai Besi (Besraya), sempena acara larian IJM Allianz Duo Highway Challenge 2024 pada Ahad ini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan memaklumkan bahawa penutupan jalan akan bermula pada pukul 12.01 tengah malam dan dijangka dibuka semula sepenuhnya pada pukul 11 pagi pada hari yang sama.

“Semasa acara larian berlangsung, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Selangor serta petugas trafik NPE dan Besraya akan menjalankan rondaan dan pemantauan di kawasan terlibat bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya terkawal.

“Antara laluan yang akan ditutup termasuklah pintu gerbang Sunway, Persiaran Taman Medan, Kilometer 18.1 (susur Plaza Tol PSJ 2) dan Kilometer 18.4 (susur Dato Harun) arah Subang.

“Selain itu, turut ditutup adalah susur Tampler, susur Kampung Pasir, dan Persiaran Kuchai arah Bangsar turut ditutup,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah Hussein, program anjuran kali keenam itu akan melibatkan lebih 10,000 peserta dengan menyaksikan penggabungan jajaran dua lebuh raya utama, iaitu Lebuhraya NPE dan Besraya.

Justeru, beliau menasihati pengguna jalan raya supaya tidak melalui laluan terbabit dengan penutupan penuh bagi mengelak kesesakan lalu-lintas dan mengikuti arahan polis trafik yang bertugas. – MalaysiaGazette