Ahmad Aliff A S Ahmad Shariffuddin (bertopi).

KUALA LUMPUR – Syarikat SCRUT menegaskan pihaknya tidak akan tunduk dengan sikap tidak jujur peniaga kereta import terpakai (recond) atau kereta terpakai mengenai keadaan sebenar kenderaan yang dijual.

Pengasas bersama Scrut, Ahmad Aliff A S Ahmad Shariffuddin berkata, tekanan dan ancaman bunuh yang sering diterima bukan penghalang daripada pihaknya melindungi pengguna terutama pembeli kereta import terpakai di negara ini.

“Memang kami banyak kena saman sebab perniagaan kereta recond kebanyakannya dimilik oleh orang yang kaya dan menggunakan tekanan seperti saman dan ugutan.

“Kena ugut itu biasa dan kami telah buat laporan polis dan jika tengok konsep kami menggunakan konsep lawan, lagi ancam lagi kami lawan sebab kita tidak boleh tunduk, ancaman bunuh memang ada, apa boleh buat,” katanya dalam program Jendela Fikir bertajuk Waspada Scam Kenderaan Terpakai di Bernama Radio hari ini.

Turut hadir adalah pengasas aplikasi SCRUT, Nik Muhammad Izwan Nik Mohd Kamel.

Tambah Nik Muhammad Izwan, dariada ugutan demi ugutan yang diterima mereka, kepentingan pengguna harus dijaga kerana penipuan kereta import semakin berleluasa.

Terbaharu, Nik Muhammad Izwan berkata, SCRUT menerima ugutan daripada agen kereta rekon yang dibatalkan tempahannya dek kerana keadaan kereta tersebut yang tidak memuaskan selepas membuat pemeriksaan di SCRUT.

“Agen kereta terpakai datang ke tempat kami da nbagi amaran sebab bakal pembeli bila buat pemeriksaan (menggunakan SCRUT) dia batalkan pesanan.

“Kami beritahu itu bukan keputusan kami, ia keputusan pembeli kami cuma beritahu keadaan kereta itu bagaimana, pembeli tidak jadi beli, dan kata mereka ugut nak buat bad review tentang Scrut,” katanya dalam program sama.

SCRUT sebelum ini menasihatkan masyarakat perlu lebih cakna agar tidak mudah tertipu dengan tawaran luar jangka ketika membeli kenderaan baharu terutamanya pada harga yang tidak masuk akal. – MalaysiaGazette