Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Pucuk pimpinan UMNO menyerahkan kepada Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi untuk mengumumkan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara itu sudah dipersetujui pimpinan parti.

“Saya berikan kuasa kepada Menteri Besar Johor untuk buat pengumuman calon PRK DUN Mahkota,” katanya yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN).

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Persidangan Perundangan Antarabangsa Ancaman dalam Talian 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.

PRK DUN Mahkota diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 64, pada 2 Ogos lalu.

Sharifah Azizah sebelum itu dimasukkan ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Kluang selepas mengalami pendarahan dalaman.

Sharifah Azizah yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Kluang sejak 1993 merampas kembali kerusi DUN Mahkota daripada Pakatan Harapan (PH) dengan majoriti 5,166 undi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Mac 2022.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Mahkota pada 28 September ini manakala penamaan calon dan pengundian awal pula masing-masing ditetapkan pada 14 dan 24 September. – MalaysiaGazette