Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa, bercakap pada sidang media berkenaan Kejayaan Menumpaskan Sindiket Pengedaran Dadah Ketamin dan Ekstati di Lembah Klang dengan Nilai Rampasan RM 1.6 Juta di Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 05 SEPTEMBER 2024.

KUALA LUMPUR – Sepasukan pegawai dan anggota polis telah ditempatkan dalam tugas di Jalan Masjid India di sini bagi melakukan kawalan keselamatan awam di lokasi tanah jerlus yang berlaku pada 23 Ogos lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa menasihati orang ramai agar tidak mendekati kawasan kejadian tanah jerlus itu memandangkan kerja-kerja pemulihan masih lagi dijalankan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

“Tangggungjawab polis adalah untuk melakukan kawalan keselamatan kita tidak mahu orang ramai meninjau atau membuat kandungan di media sosial di lokasi itu.

“Jadi kehadiran anggota polis adalah bagi mengawal sekitar lokasi tanah jerlus, kesan daripada tanah jerlus itu dalam kira-kira lapan hingga 10 meter, kita tidak mahu apa-apa terjadi lagi di kawasan itu selepas ini.

“Kita juga tak mahu orang suka dekati, meninjau lubang tanah jerlus itu dan buat TikTok serta macam-macam.. demi keselamatan elak mendekati lokasi lubang tanah jerlus itu,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Pada 31 Ogos lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa memaklumkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa wanita warga India bernama Vijaya Lakshmi Goli, 48, yang tertimbus pada kedalaman 10 meter yang memasuki hari kesembilan ditamatkan sepenuhnya serta-merta atas faktor keselamatan semua pihak.

Katanya, tindakan selanjutnya di lokasi kejadian tanah jerlus itu akan diteruskan dengan kerja-kerja pemulihan (search and recovery).

Dalam kejadian sekitar 8.10 hingga 8.22 pagi itu, mangsa yang berasal dari negeri Andhra Pradesh,India hilang selepas terjatuh akibat kejadian tanah jerlus ketika berjalan kaki ke arah Selangor Mansion.- MalaysiaGazette