SPRM menahan reman dua individu disyaki minta dan terima rasuah RM1,000

KUALA LUMPUR- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perlis menahan reman dua individu disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM1,000 sebagai balasan pengesahan dokumen bagi kerja-kerja menaik taraf jalan di sebuah kampung di negeri ini.

Perintah reman selama tiga hari sehingga 7 September 2024 terhadap kedua-dua suspek lelaki berusia lingkungan 40-an telah dikeluarkan oleh Majistret Ahmad Hamdi Mustafa selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Kangar pagi tadi.

Sumber berkata, suspek pertama yang juga merupakan pengerusi sebuah institusi komuniti kampung dipercayai ditahan kira-kira jam 4 petang semalam di sekitar Kangar manakala suspek kedua ditahan kira-kira jam 8 malam semalam ketika diminta hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Perlis.

“Siasatan awal mendapati, suspek pertama telah meminta daripada pengadu kira-kira RM1,000 sebagai balasan cop dan tandatangannya pada dokumen kerja-kerja menaik taraf jalan.

“Bagaimanapun, pengadu hanya menyerahkan wang tunai kira-kira RM500 dan wang tersebut dipercayai dibahagi dua bersama suspek kedua,” katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Perlis, Mohd Nor Adha Ab Gani ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.- MalaysiaGazette