KUANTAN – Seorang maut manakala tiga yang lain cedera apabila kenderaan dinaiki mereka terbabas di Kilometer 14 Jalan turun dari Genting Highlands petang tadi.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kemalangan itu pada jam 3.57 petang.

Beliau berkata, sepasukan anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Genting dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Kemalangan melibatkan kereta jenis Honda CRV yang terbabas. Terdapat tiga lelaki dan seorang wanita berada dalam kenderaan dan telah dikeluarkan orang awam sebelum ketibaan bomba,” katanya dalam kenyataan.

Mangsa yang cedera telah diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia manakala mangsa yang maut diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya. – MalaysiaGazette