KUALA LUMPUR – Datuk Dr Akmal Saleh menyifatkan Naib Pengerusi DAP, Teresa Kok sebagai “nyonya tua” kerana mencampuri urusan Islam, khususnya berkaitan pensijilan halal.
Ketua Pemuda UMNO berkata, Ahli Parlimen Seputeh itu tidak sepatutnya mempersoalkan perkara yang tidak mempunyai kaitan dengannya.
“Saya terbaca hari ini ada nyonya tua menyatakan (iaitu) Teresa Kok ini wajibkan sijil halal akan tambah beban perniaga dan malukan negara.
“Pertama saya nak bagi tahu pada nyonya tua ini, sijil halal ini bukan sahaja arak dan babi, tapi sijil ini merangkumi bagaimana dia nak sediakan, bagaimana sumber tu dapat.
“Jadi ini adalah aturan yang telah ditetapkan dan saya nak bagi tahu juga nyonya tua ini bahawa sijil halal ini dulu berbulan-bulan nak dapat, hari ni kita dah dapat pendekkan kepada 23 hari saja dah boleh dapat sijil halal.
“Jadi apa masalah kamu dengan sijil halal ini?,” katanya dalam satu rakaman yang dimuatnaik di TikTok.
Video Berkaitan
Semalam, Teresa dilapor menyifatkan cadangan berkenaan berpotensi menambah beban kepada perniagaan termasuk melibatkan ribuan pengusaha restoran Melayu.
Malah, kata Teresa, langkah tersebut bertentangan dengan semangat kepelbagaian budaya selain mungkin menjadikan Malaysia sebagai bahan ejekkan di luar negara.
“Apabila kerajaan mewajibkan premis makanan mempunyai sijil halal, ia dilihat akan menambah beban kepada perniaga kecil.
“Walaupun banyak restoran tidak menyediakan daging babi atau alkohol, mereka tidak memohon pensijilan halal. Ini termasuklah ribuan pengusaha restoran kecil Melayu.
“Pengenalan pensijilan halal secara wajib akan menambah kos pentadbiran. Pensijilan halal seharusnya bersifat sukarela, membolehkan pengusaha membuat keputusan berdasarkan permintaan pasaran, dan bukannya dilaksanakan secara paksa yang akan menambah kesukaran operasi perniagaan,” katanya dalam kenyataan.
Sebelum ini, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dilapor mempertimbangkan cadangan untuk mewajibkan pensijilan halal bagi restoran dan syarikat makanan yang tidak menyediakan hidangan daging babi dan alkohol.
Akmal yang juga Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Melaka turut mendakwa, sebenarnya Teresa yang telah memalukan negara ini serta tidak berhenti mengganggu-gugat keharmonian.
Katanya lagi, usah campur urusan agama Islam apatah lagi jika tidak memahaminya.
“Kalau kamu tak tahu tentang agama kami, jangan cakap. Kamu diam lebih elok dan saya minta juga kepada kerajaan sediakan satu logo non (tak) halal, tampal dekat dahi nyonya tua ini,” katanya. – MalaysiaGazette