CYBERJAYA – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) hari ini memperkenalkan rekaan plat khas JPJePlate untuk kenderaan motor tanpa pelepasan (ZEV) termasuk kenderaan elektrik (EV).
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook menyifatkan pelaksanaan itu sebagai strategi serampang dua mata kerajaan untuk insentif tambahan demi menggalakkan penggunaan kenderaan tersebut selain meneruskan langkah pendigitalan.
“Pelaksanaan JPJePlate adalah usaha kerajaan untuk melipatgandakan usaha dalam memperluaskan pendigitalan, meningkatkan keselamatan jalan raya dan mewujudkan evolusi baharu dalam sistem pengenalan kenderaan (atau Vehicle Identification System – VIS) yang pintar.
“Inisiatif ini akan dilaksanakan ke atas kenderaan ZEV baharu termasuk kenderaan elektrik (EV) baharu,” katanya ketika menyampaikan ucapan pada majlis pelancaran itu, di sini, hari ini.
Menurut beliau, JPJePlate disertai dengan piawaian baharu untuk keselamatan dan kecekapan jalan raya dengan beberapa manfaat utama.
“Keterlihatan yang Ditingkatkan: Dengan ciri retro-reflektif, JPJePlate meningkatkan keterlihatan pada waktu malam, membantu mengurangkan kemalangan dan memastikan keselamatan pemanduan yang lebih baik di samping memudahkan tindakan penguatkuasaan.
“Ciri keselamatan, plat nombor ini dilengkapi dengan hologram anti-kloning untuk meminimumkan risiko kecurian dan penipuan. JPJePlate juga membolehkan kenderaan elektrik dikenalpasti dengan mudah agar protokol keselamatan yang betul digunapakai semasa kecemasan.
“Teknologi pintar dan Penguatkuasaan: Dengan integrasi Sistem Pengangkutan Pintar (ITS) melalui teknologi RFID, JPJePlate menyumbang kepada jaringan pengangkutan yang lebih terhubung dan cerdas,” jelasnya.
JPJePlate tampil dengan papan plat berwarna putih dengan tulisan nombor plat berwarna putih, selain mempunyai satu jalur hijau yang melambangkan kod bagi kenderaan elektrik serta memaparkan bendera Malaysia.
Tambah beliau, JPJePlate yang ditetapkan pada kadar harga RM98 tidak diwajibkan untuk kenderaan ZEV yang sudah berada di atas jalan namun pemilik yang masih berminat boleh membuat tempahan seawal bulan November.
“Harga ini termasuk plat hadapan, plat belakang, pelekat cermin Pengecaman Frekuensi Radio (RFID) dan penghantaran standard.
“Fokus sekarang adalah untuk memastikan pelaksanaan JPJePlate untuk kenderaan ZEV baharu berjalan lancar. Kementerian Pengangkutan mengalu-alukan maklumbalas dari orang ramai berkenaan inisiatif ini,” katanya.
Mengulas lanjut Anthony menyifatkan pelaksanaan JPJePlate ini sebagai projek rintis untuk menilai penerimaan dan sambutannya.
“Ini projek rintis untuk EV. kita tengok penerimaannya kita akan pertimbangkan untuk melaksanakannya kepada kereta lain kalau penerimaan baik,” ujarnya.
Sementara itu pada majlis yang sama, Anthony melancarkan Nombor Pendaftaran Istimewa (NPI) dengan tanda indeks “EV” yang akan dibuka bidaan melalui Sistem JPJeBid.
Katanya, tarikh bidaan bermula pada hari ini dan akan berakhir pada jam 10 malam 13 September depan.
“Keputusan bidaan akan diumumkan dalam 24 jam selepas proses bidaan tamat.
“NPI “EV” ini adalah khas untuk kenderaan ZEV sahaja dan tidak boleh didaftarkan kepada kenderaan bukan ZEV. Pemilik kenderaan ZEV yang tidak berminat masih boleh menggunakan mana-mana nombor siri negeri yang biasa untuk didaftarkan kepada kenderaan masing-masing,” tambahnya.
Ujarnya, sebahagian pendapatan daripada NPI akan disalurkan untuk inisiatif-inisiatif rakyat.
Terdahulu katanya, dalam tempoh enam bulan tahun ini jumlah EV yang didaftarkan melonjak 150 peratus daripada 5,131 kepada 12,850 buah kenderaan untuk tempoh yang sama pada tahun lepas. – MalaysiaGazette