Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok hadir ke balai untuk dirakamkan keterangan bagi membantu siasatan berhubung kenyataannya berkait isu sijil halal yang didakwa membebankan peniaga ketika di Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 10 SEPTEMBER 2024.

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok selesai memberi keterangan kepada polis di Ibu Pejabat Bukit Aman, hari ini bagi membantu siasatan berhubung kenyataannya mengenai sijil halal mandatori yang didakwa akan membebankan peniaga.

Beliau yang berpakaian baju kurung putih dilihat memasuki ibu pejabat PDRM itu sekitar jam 9.42 pagi dilihat keluar kira-kira jam 12 tengahari tadi.

Pemimpin DAP itu ditemani peguamnya, Ramkarpal Singh dan Syahredzan Johan.

Bercakap kemudian kepada pemberita di tempat letak kereta Bukit Aman berkata, Teresa menegaskan, kenyataannya berhubung isu pensijilan halal adalah maklum balas kepada cadangan yang dibangkitkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar sebelum ini.

Katanya, beliau hanya menyuarakan suara hati masyarakat berbilang kaum ekoran cadangan Mohd. Na’im untuk mewajibkan restoran yang tidak menjual daging babi dan alkohol untuk mendapatkan pensijilan halal.

“Saya hanya menyuarakan pendapat untuk pihak mengkaji semula cadangan (wajibkan sijil halal) tersebut.

“Kenyataan dibuat sebagai respon kepada cadangan menteri (Mohd. Na’im). Sebagai ahli Parlimen, saya bertanggungjawab untuk mengutarakan masalah dan suara hati rakyat berbilang kaum.

“Kenyataan itu tidak sama sekali bermaksud saya mempersoalkan pensijilan halal, peranan Jabatan Kemajuan Agama Islam (Jakim) atau tidak menghormati agama Islam,” katanya.

Tambah Naib Presiden DAP itu, beliau tetap akan memberi kerjasama penuh kepada polis dalam siasatan itu namun berharap semua pihak bertenang dan memberi ruang kepada polis melengkapkan siasatan.

“Saya harap isu ini akan tenang dan reda selepas ini kerana sudah banyak pihak sudah menyatakan pandangan masing-masing,” ujarnya.

Rakaman percakapan telah dijalan oleh dibuat di Pejabat Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT),D5 Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman.

Dalam pada itu, Syahredzan berkata, pihaknya dirakam keterangan hampir sejam setengah oleh pegawai penyiasat dan tiada rampasan telefon dibuat semasa proses tersebut.

“Kami dimaklumkan bahawa setakat ini siasatan telah dijalankan ataupun sedang dijalankan di bawah beberapa Akta iaitu pertamanya Akta 298 Kanun Keseksaan, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar perkhimatan rangkaian atau kemudahan rangkaian,” katanya.

Beberapa ahli Parlimen DAP antaranya Ahli Parlimen Bagan Lim Guan Eng merangkap Pengerusi DAP Kebangsaan, Ahli Parlimen Cheras Tan Kok Wei, Ahli Parlimen Bukit Bintang Fong Kui Lun dan Ahli Parlimen Klang Ganabatirao.- MalaysiaGazette