NIBONG TEBAL – Polis Daerah Seberang Perai Selatan memohon kerjasama orang ramai yang menyaksikan kemalangan maut melibatkan dua penunggang motosikal di Jalan Paya Kemian di sini semalam untuk tampil membantu siasatan.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Jay January Siowou berkata, kejadian kira-kira pukul 12.30 pagi itu masing-masing lelaki tempatan berkenaan menunggang motosikal jenis Honda NF100 berwarna biru dan Honda C100 berwarna hitam.
“Seorang mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala seorang lagi meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Sungai Bakap.
“Mayat kedua-dua mangsa telah dihantar ke Unit Forensik hospital tersebut untuk dibedah siasat.
“Selain itu, kedua-dua motosikal mereka turut terbakar dan mengalami kerosakan teruk dalam kejadian tersebut,” katanya dalam kenyataan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 sehubungan itu, pihak polis menyeru mana-mana saksi bebas yang melihat kejadian tersebut supaya tampil memberikan maklumat kepada Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Selatan di talian 04 585 8222.
“Pengguna jalan raya juga diingatkan agar sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas, memastikan kenderaan dalam keadaan selamat serta tidak memandu dalam keadaan mengantuk atau cuai bagi mengelakkan tragedi seumpama itu berlaku,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN:
MalaysiaGazette semalam melaporkan dua lelaki maut selepas motosikal ditunggang mereka dipercayai bertembung sebelum terbakar. – MalaysiaGazette















