KUALA LUMPUR – Pihak yang mensensasikan isu halal telah tersasar jauh dalam memahami tuntutan halal daripada sudut keperluan pengguna.
Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Senator Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, pengguna kini yang lebih prihatin memilih produk yang memberikan mereka keyakinan sama ada daripada sudut panduan agama, selamat dari sudut bahan dan sihat dari sudut kesan fizikal dan mental.
Katanya, keperluan halal telah berjaya merentasi batasan agama kepada keperluan pasaran yang meletakkan piawaian selamat, bersih dan sihat.
Justeru beliau menyeru semua pihak supaya tidak mempolitikkan pensijilan halal dan tidak menjadikan isu itu sebagai dorongan kebencian kaum dan agama..
“Tidak timbul soal paksaan atau bebanan, ia adalah asalnya tanggungjawab Muslim yang mahukan keberkatan hidup mematuhi syariat namun keberkatan tersebut kini merentas kepada satu keperluan pasaran yang berkembang pesat dan menguntungkan.
“Hentikan pertikaian yang tidak produktif demi kita mengangkat industri halal negara ke tahap global dan berhentilah dari mencetuskan isu sensitif agama kerana isu halal adalah juga paksi kehidupan umat Islam,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Pengerusi Pakatan Harapan Perak itu, halal tidak lagi terhad kepada pemilik industri muslim.
Syarikat bukan muslim katanya, lebih banyak terlibat dalam permintaan sijil halal berbanding industri yang dimiliki oleh pemilik Muslim.
Mujahid berkata, polemik pensijilan halal berlaku kerana banyak pihak yang memberi pandangan sebenarnya kurang maklumat mengenai idea dan konsep pensijilan halal serta keperluannya kepada pengguna dan industri.
Asas kepada pensijilan halal jelas beliau, bertitik-tolak daripada tuntutan hidup bagi seorang muslim iaitu mestilah bersih dari sebarang syubhah atau keraguan kedudukan halal dan haram termasuk dalam soal makan dan minum.
Menurut Mujahid, tanggungjawab asal kepada penyediaan keperluan halal terletak kepada individu dan pihak yang menyediakan keperluan tersebut.
Syariat telah menetapkan dengan perinci berbagai aspek dalam menentukan piawaian halal.
Namun apabila konsumsi manusia semakin rumit dan berkembang termasuk teknologi, soal bahan, punca bahan dan elemennya maka perkara-perkara yang tidak pasti kedudukannya atau syubhah maka semakin memerlukan panduan dari pihak yang berotoriti.
Keperluan halal dan toyiban semakin mendesak dengan kesedaran tinggi umat Islam terhadap garis panduan mematuhi kehidupan berpandukan syariat termasuk makan minum.
Malaysia katanya, telah memulakan inisiatif halal sejak tahun 1974 dan memperkenalkan sijil dan logo pada tahun 1994 melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.
Keperluan halal telah diinstitusikan dan berfungsi memenuhi keyakinan pengguna yang ketika itu dibanjiri dengan berbagai produk makanan dan minuman (F&B) serta bahan makanan dalam pasaran yang jatuh di bawah kategori syubhah.
Halal telah berkembang menjadi satu pasaran besar dan turut dipengaruhi oleh faktor penawaran dan permintaan berkembang bukan sahaja dalam F&B tetapi juga bahan kosmetik, farmaseutikal mahupun logistik.
Ekonomi berpandukan keperluan produk halal kini katanya, menguasai pasaran dan dijangkakan akan meningkat kepada RM22.34 trilion menjelang 2030. – MalaysiaGazette