GEORGE TOWN – Dunia penyelidikan perubatan Malaysia mendapat pengiktirafan global apabila pakar perunding kanak-kanak dan genetik perubatan dari Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr. Zilfalil Alwi diiktiraf sebagai salah seorang penyumbang penting dalam artikel ilmiah terbitan jurnal Nature Medicine.
Artikel bertajuk The WHO Genomics Programme for Equitable Implementation of Human Genomics for Global Health itu mengetengahkan peranan penting genomik dalam kesihatan sejagat.
Lebih membanggakan, Zilfalil merupakan wakil tunggal Malaysia dalam kalangan 15 pakar dari seluruh dunia yang dilantik sebagai ahli Kumpulan Penasihat Teknikal Genomik (TAG-G) Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
USM dalam satu kenyataan berkata, dengan peningkatan pesat teknologi genomik, kertas kerja itu menyoroti ketidaksamaan akses kepada teknologi di negara-negara berpendapatan rendah dan sederhana.
“WHO sebagai sebuah organisasi antarabangsa telah melancarkan program genomik yang komprehensif yang berperanan dalam memajukan akses kepada teknologi genomik yang saksama di seluruh dunia.
“Inisiatif ini adalah selari dengan kemajuan signifikan dalam bidang genomik manusia, terutamanya sejak penerbitan draf pertama penjujukan genom manusia pada tahun 2001.
“Kemajuan ini telah merevolusikan diagnosis, rawatan dan pencegahan penyakit melalui penjujukan berjuta-juta genom dan penemuan pelbagai hubungan gen-penyakit,” katanya hari ini.
Tambah kenyataan itu, program itu juga bertujuan untuk mengukuhkan kerjasama dengan organisasi-organisasi dan pemegang taruh dalam bidang ini untuk memastikan satu pendekatan global yang berkoordinasi terhadap bidang genomik manusia.
“Melalui usaha ini juga, WHO komited terhadap memajukan penggunaan teknologi genomik dalam meningkatkan tahap penjagaan kesihatan individu dan populasi seluruh dunia.
“Kejayaan inisiatif ini turut bergantung kepada usaha kolektif di antara pihak kerajaan, komuniti dan sektor swasta untuk memastikan manfaat bidang genomik dapat diakses oleh semua, terutamanya populasi yang paling kurang mendapat perhatian,” katanya. – MalaysiaGazette