Ravinder Singh bersama pegawai kanannya menunjukkan ganja yang dirampas dan tangkapan penganggur di ib Cheras pada 5 September lalu.

KUALA LUMPUR – Perbuatan seorang penganggur bergiat aktif mengedar ganja bernilai RM203,703 untuk pasaran sekitar Lembah Klang tersungkur di tangan polis.

Suspek seorang warga tempatan diberkas dalam serbuan yang dijalankan pada 5 September lalu di sekitar Cheras.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Ravindar Singh berkata, dalam serbuan pertama sekitar 9 malam sekitar kondominium di Cheras pihaknya menahan lelaki warga tempatan berusia 30-an.

“Hasil pemeriksaan di unit itu berjaya membawa kepada penemuan dan rampasan dadah jenis ganja seberat 62.56 kilogram (kg).

“Kemudian berpandukan arah dan maklumat lanjut suspek, pasukan serbuan telah pergi ke satu lagi kediaman kondominium mewah yang terletak di sekitar Segambut,” katanya dalam sidang media hari ini.

Tambah Ravindar, hasil serbuan berjaya membawa kepada rampasan ganja seberat 3.125 kg, sebuah pengedap vakum dan alat penimbang.

Nilai rampasan dadah keseluruhan dianggarkan bernilai RM203,623.

“Siasatan awal mendapati suspek bergerak dan mengedar dadah secara solo dengan membeli bekalan dadah secara pukal daripada seorang lelaki warga tempatan dari ibu negara.

“Kemudian dadah yang diperoleh secara pukal di simpan di rumah sewanya sebelum membungkus dalam sukatan lima gram hingga satu kg secara berasingan untuk pengedaran sekitar pasaran Lembah Klang,” katanya.

Tegasnya, suspek bergiat aktif dalam kegiatan itu sejak awal 2024 dan hanya menjual kepada pelanggan tetap dengan kaedah menggunakan panggilan telefon.

“Lelaki kedua berperanan sebagai pembekal dadah sedang dalam siasatan polis untuk mengenalpasti identiti untuk tindakan lanjut.

“Suspek kini direman selama seminggu sehingga 12 September ini dan tempoh reman akan dilanjutkan esok untuk siasatan lanjut,” ujarnya.

Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati. -MalaysiaGazette