KUALA LUMPUR – Insiden tanah jerlus yang menyebabkan seorang wanita dari India hilang dan gagal ditemui dianggap sebagai mangsa kecuaian masih lagi berlegar-legar dan mengundang kebimbangan dalam kalangan rakyat.
Lebih mengecewakan apabila keluarga mangsa hanya diberikan wang ihsan atau sumbangan sebanyak RM30,000 sebelum mereka pulang ke negara asal baru-baru ini.
Itu luahan Penaung dan Presiden Persatuan Kebajikan Dinamik Sinar Kasih Malaysia (DSK), Datuk N Sivakumar yang senada dengan Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan yang mempersoalkan mengenai pampasan daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Sivakumar mengalu-alukan pandangan dilontarkan Saravanan yang terkejut dengan jumlah diberi kepada keluarga mangsa, G Vijaya Lakshmi baru-baru ini.
“Saya lebih terkejut kerana tidak ada seorang pun yang tampil menyoal insiden itu. Adakah nyawa seseorang disamakan dengan nilai yang dibayar dan pampasan hanya RM30,000 sahaja.
“Tidak dapat dinafikan kerjasama dan dedikasi oleh agensi-agensi kerajaan amatlah dihargai dan disanjungi namun kita tidak dapat abaikan kesedihan yang dialami oleh keluarga mangsa.
“Tapi fokus saya bukan pada pampasan itu sebaliknya sikap yang ditonjolkan oleh wakil-wakil rakyat khasnya dalam kalangan kaum India yang sebelum ini begitu lantang dan suka menuding jari terutamanya kepada MIC kononnya tidak menjaga hak dan kebajikan komuniti. Mana suara anda kini? Hanya Tapah sahaja bersuara,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Menurut Sivakumar yang juga Ketua Bahagian MIC Bahagian Segambut, isu turut melibatkan negara lain dan mendapat liputan meluas bukan sahaja di sini sebaliknya juga di India dan negara jiran.
“Bayangkan dalam usaha Malaysia menjaga nama baik di persada dunia, isu begini perlulah diabaikan segera kerana ianya menggugat keselamatan dan merendahkan imej serta pendapatan negara peringkat dunia.
“Bagi menjaga nama baik negara, setiap individu perlu berganding bahu bagi memastikan hasrat kerajaan tercapai. Jika berlakunya masalah dalam mana-mana kaum haruslah menjadi tanggungjawab parti dan wakil rakyat.
“Dulu boleh tuding jari pada MIC, kami menjadi kerajaan dan mempunyai kuasa dalam Kabinet. Hari ini giliran anda semua bukan? Mengapa dalam isu seperti ini juga hanya MIC sahaja perlu bersuara dan melakukan semuanya walaupun bukan lagi berkuasa?” soalnya.
“Kita memang salute dengan setiap anggota yang sebenarnya berkorban nyawa bagi operasi ini. Komitmen ini sungguh luar biasa. Itu kita tidak akan sesekali persoal langsung malah cukup berterima kasih.
“Namun apa yang menyedihkan apabila perkara ini seolah-olah dilupakan dan didiamkan begitu sahaja, saya cukup pasti andai masih menjadi pembangkang, pastinya pelbagai pihak menuding jari dan mencetuskan provokasi,” ujarnya. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Adakah memadai RM30,000 untuk keluarga mangsa tanah jerlus? – Saravanan