Bangunan Kementerian Pendidikan Malaysia. foto HAZROL ZAINAL, 02 NOVEMBER 2018.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan bersetuju sepenuhnya dengan 10 tuntutan yang dikemukakan Kerajaan Negeri Sarawak dalam memperkukuhkan pendidikan di negeri itu.

Ini termasuk usaha mengukuhkan pelibatan Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak (MEITD), kebenaran mengambil guru Contract of Service (CoS) tertakluk kepada pelantikan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP), pelaksanaan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) berdasarkan keperluan/keutamaan serta pelibatan dalam perancangan projek pembangunan pendidikan.

Menyifatkan penubuhan Jawatankuasa Tindakan Bersama Pembangunan Pendidikan (JTBPP) telah membuahkan hasil yang positif,  KPM juga bersetuju memberi perwakilan kuasa melulus projek penyelenggaraan sekolah yang dibiayai oleh Kerajaan Sarawak atau mana-mana pihak lain selainnya kepada Pengarah Pendidikan Negeri Sarawak, tertakluk kepada garis panduan yang sedang berkuat kuasa.

“KPM, Kerajaan Negeri Sabah dan Kerajaan Negeri Sarawak berkerjasama erat bagi memastikan pendidikan di kedua-dua buah negeri dapat terus dipertingkatkan dalam ruang lingkup semangat kesatuan MA63,” katanya dalam kenyataan di sini.

KPM berkata, ia optimis hasil Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam dapat memperkukuhkan lagi pendidikan di Sabah dan Sarawak.

Antara perkara yang dibincangkan dalam mesyuarat ini termasuk mengenai keperluan merunding dengan Pengarah Pendidikan Negeri Sarawak untuk melantik pegawai pendidikan daerah, pengetua dan guru besar bagi mengisi kekosongan dan pemangkuan jawatan sebelum Menteri Pendidikan membuat kelulusan seperti yang termaktub dalam Akta Pendidikan 1996 (Akta 550).

Untuk rekod, Mesyuarat JTBPP Negeri Sarawak telah diadakan pada Februari lalu manakala Mesyuarat JTBPP Negeri Sabah pula akan dilangsungkan pada bulan Oktober 2024. – MalaysiaGazette