KUALA LUMPUR – Sekretariat Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2024 diarahkan supaya menyediakan tempat solat yang lebih besar dan selesa pada Jumaat depan yang dijangka dilimpahi lebih ramai jemaah.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu yang tidak berpuas hati dengan keadaan tempat solat Jumaat pada hari ini berkata, jemaah terpaksa berpanas sebelum mereka menunaikan solat.

“Bang Mat sangat tak berpuas hati dengan penyediaan tempat solat Jumaat hari ini yang diuruskan oleh pihak Sekretariat MAHA 2024.

“Bang Mat minta maaf sebab hanya mengetahui keadaan ini ketika waktu solat Jumaat hampir masuk dan tidak sempat untuk Bang Mat mengarahkan pihak Sekretariat mengubah tempat solat tadi ke tempat lain,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook miliknya.

Menurut beliau, insiden tersebut diharap menjadi menjadi pengajaran supaya tidak berulang pada masa hadapan.

Sementara itu, seorang nitizen dikenali sebagai Zakwan ZA mempersoalkan mengapa jemaah perlu menunaikan solat di luar pada MAHA 2024.

“MAHA 2022, dah elok buat solat Jumaat kat dewan utama MAEPS. Apasal sekarang ni buat kat luar pulak?” katanya. – MalaysiaGazette