KUALA LUMPUR – Jabatan Meteorologi Malaysia memaklumkan semua urusan perolehan jabatan ini menggunakan sistem ePerolehan secara dalam talian sepenuhnya dan serahan dokumen secara manual adalah tidak dibenarkan.

Katanya, makluman ini dibuat selepas ia menerima aduan berkaitan permohonan palsu dari pihak yang tidak bertanggungjawab menyamar sebagai kakitangan jabatan dengan melakukan permohonan perkhidmatan dan bekalan yang tidak wujud.

“Kegiatan licik ini dikesan apabila semakan yang dilakukan menerusi ePerolehan mendapati permohonan tidak wujud di dalam sistem. Permohonan yang dilakukan juga menggunakan dokumen palsu yang menggunakan kepala surat jabatan yang direka,” katanya yang memandang serius terhadap perkara yang berlaku kerana telah mencemarkan imej jabatan dalam melaksanakan tadbir urus yang baik, telus, saksama dan berintegriti.

Oleh Oleh itu, Jabatan Meteorologi Malaysia menasihatkan kepada semua pihak yang menerima tempahan yang menggunakan nama jabatan ini secara manual tanpa melalui ePerolehan untuk lebih berhati-hati dan berhubung dengan Unit Perolehan terlebih dahulu bagi mengelakkan sebarang kerugian. – MalaysiaGazette