Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid berucap pada Majlis Himpunan 24K Huffaz Malaysia di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 14 SEPTEMBER 2024.

KUALA LUMPUR – Kerajaan diharap dapat menambah peruntukan kepada RM2 bilion bagi pengurusan dan pembangunan hal ehwal Islam dalam Belanjawan 2025 yang akan dibentang, 18 Oktober depan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Hamidi berkata, ini kerana terdapat lebih 2,500 maahad tahfiz yang masih belum berdaftar kerana tidak cukup syarat sebagai sebuah institusi pendidikan.

Katanya, sehingga kini sebanyak 1,199 Maahad Tahfiz telah berdaftar di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang melibatkan 125,000 pelajar yang berdaftar.

“Bagi pihak pelajar, saya minta Perdana Menteri carilah jalan tambah peruntukan untuk 2,500 maahad tahfiz agar dapat dipermudahkan proses pendaftaran, ini kerana ramai memperlekehkan huffaz dan pelajar mahad tafiz.

“Ketika membentangkan Belanjawan 2023, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memperuntukkan RM1.4 bilion untuk agama islam dan pada tahun ini (2024) ia telah dipertingkatkan kepada RM1.9 bilion.

“Insya Allah bulan depan dalam ucapan Belanjawan 2025 pada hemat saya lebih RM2 bilion akan diperuntukkan untuk agama islam, yang penting kita satukan hati walaupun berbeda pendapat namun perlu ada adab dalam menangani perkara itu,” katanya

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Himpunan 24K Huffaz yang dianjurkan di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di sini hari ini.

Turut hadir Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na’im Mokhtar.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid menambah program Ekplorasi TVET – Tahfiz yang dilancarkan pada tahun lalu mendapat penyertaan memberangsangkan.

“Dalam tempoh kurang dari dua tahun dengan permulaan sebanyak 17 pusat tahfiz sekarang terdapat 622 pelajar tahfiz yang mengikuti ikuti kurus dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

“Insyallah kalau peruntukkan ditambah, azam saya menjelang 2027, kita sasarkan 10,000 pelajar tahfiz akan mengikuti program TVET di seluruh negara,” jelasnya.- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here