Foto: JBPM

SEREMBAN – Seorang lelaki maut manakala tiga cedera termasuk seorang wanita parah selepas terbabit dalam kemalangan membabitkan 10 kenderaan termasuk dua lori membawa muatan batu di Lingkaran Tengah Seremban berdekatan stesen minyak Caltex, di sini, tengah hari tadi.

Komander Operasi Penguasa Bomba Kanan I (KUP) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan, Hamlan Ishak berkata, lelaki berusia dalam lingkungan 40-an itu disahkan meninggal dunia akibat  cedera parah pada bahagian kepala dan badan.

“Sebanyak lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Seremban bersama satu jentera dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan berkaitan kejadian pada 1.28 tengah hari.

“Bomba mengambil masa dua jam untuk mengeluarkan mangsa yang maut dengan bantuan kren kerana tersepit di bawah lori. Kemalangan melibatkan kenderaan jenis Proton Saga, Perodua Axia, Perodua Myvi, Proton Persona, Nissan X-Trail, Perodua Kancil, Honda City dan Mitsubishi Triton,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata, bagaimanapun pemandu kedua-dua lori hanya mengalami cedera ringan.

Hamlan berkata, mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut manakala mereka yang cedera dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar di sini. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast