Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berucap ketika hadir ke Program Malam Cinta Rasul Sempena Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Kebangsaan Tahun 1446H/ 2024 di Dataran Putra, Putrajaya. Foto MOHD ADZLAN, 15 SEPTEMBER 2024.

PUTRAJAYA – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyeru umat Islam terutamanya para pemimpin untuk mencontohi akhlak Rasulullah dalam menyampaikan pandangan.

Jelas beliau, meskipun mempunyai pendapat yang berbeza tentang sesuatu perkara, umat Islam seharusnya sentiasa menjaga adab sebagaimana yang telah diajar oleh Nabi Muhammad SAW.

“Cara kita menyampaikan atau perutusan mesti berlandaskan kepada akhlak yang baik.

“Walaupun jika ada wujudnya perbezaan pendapat di antara kita, kita mestilah beradab dengan baik tanpa mengira status sosial dan kedudukan kita dalam komuniti,” katanya ketika berucap pada Program Malam Cinta Rasul sempena Sambutan Maulidur Rasul SAW peringkat kebangsaan Tahun 1446H/2024 di Dataran Putra, di sini, hari ini.

Program yang dianjurkan melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) itu bertujuan untuk menyemarakkan rasa cinta terhadap Rasulullah SAW.

Program itu juga diharapkan dapat membantu untuk umat Islam mengamati dua perkara penting yang ditinggalkan baginda, iaitu Al- Quran dan As-Sunnah.

“Di dalam menyantuni dan meraikan Maulidur Rasul esok, marilah kita bersama-sama kita bertekad untuk menjadi lebih baik dan mengelak sebarang sifat yang buruk.

“Masyarakat dunia melihat Malaysia sebagai contoh. Jadi marilah kita menunjuk sifat yang terbaik.

“Ingatlah, kita masih boleh berselawat di sini sedangkan saudara kita di Palestin masih berperang mempertahankan hak mereka. Marilah kita berdoa untuk keselamatan mereka,” tambahnya.

Susulan itu, beliau menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk terus menghulurkan derma kepada warga Palestin kerana mereka memerlukan kelengkapan terutamanya dalam membuat persediaan menghadapi musim sejuk.

Sambutan Maulidur Rasul pada tahun ini bertemakan Al- Falah Pemacu Malaysia Madani yang membawa maksud kesejahteraan dan kekayaan.

Ia juga merupakan salah satu lafaz azan yang membawa kalimah ‘marilah menuju kejayaan (al-falah). – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here