KLUANG – Polis mengeluarkan 13 permit kempen sepanjang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota setakat ini.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, permit kempen yang diluluskan itu dimohon oleh kedua-dua parti bertanding sejak hari pertama kempen bermula.
“Bermula kelmarin sehingga setakat pukul 3 petang tadi, sebanyak 13 permohonan permit kempen sudah diluluskan dengan dua bagi Barisan Nasional (BN) dan 11 bagi Perikatan Nasional (PN),” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Bahrin berkata, pihaknya turut menerima satu laporan polis dibuat orang awam, berhubung penafian tuduhan mengenai satu mesej diterimanya.
“Kita menerima satu laporan polis semalam daripada seorang orang awam yang menafikan tuduhan diterimanya menerusia satu mesej di telefon bimbit.
“Kes diklasifikasikan sebagai NOD (No Offense Disclosed),” katanya.
PRK DUN Mahkota diadakan selepas penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain meninggal dunia, 2 Ogos lalu.
PRK kali ini menyaksikan pertembungan antara BN dan PN yang masing-masing mempertaruhkan calon Syed Hussien Syed Abdullah dan Mohamad Haizan Jaafar atau dikenal sebagai Coach Haizan.
Hari pengundian akan berlangsung 28 September ini, manakala 24 September sebagai hari undi awal.- MalaysiaGazette