Sebatang pokok besar tumbang di hadapan Kilang Khian Guan Biscuit Manufacturing, Jalan Siram, dekat Butterworth. Foto: Balai Bomba Dan Penyelamat Butterworth

GEORGE TOWN – Pulau Pinang menerima hampir 200 aduan berhubung pokok tumbang akibat hujan lebat dan angin kencang dalam tempoh tiga hari sejak Ahad lalu.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, sebanyak 90 aduan berhubung pokok tumbang diterima pada Ahad lalu diikuti dengan sembilan aduan pada hari kedua serta 73 aduan setakat jam 12 tengah hari tadi.

Jelas beliau, lima buah rumah serta lapan kenderaan di bahagian pulau dilaporkan rosak akibat kejadian tersebut

“Kita ambik maklum amaran Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) berhubung ramalan cuaca ribut dan hujan lebat dalam tempoh beberapa hari kebelakangan ini sehingga esok.

“Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) juga telah menjalankan kerja-kerja mengalihkan pokok sebaik aduan diterima demi mengutamakan keselamatan orang awam,” katanya pada sidang media di Komtar hari ini.

Mengulas lanjut Kon Yeow berkata, Pulau Pinang turut mencatatkan taburan hujan sebanyak 110 milimeter (mm) hari ini hingga menyebabkan banjir kilat di 71 lokasi di Seberang Perai iaitu 43 kawasan di Seberang Perai Tengah dan 28 tempat di Seberang Perai Selatan.

Sehubungan itu, Kon Yeow meminta orang ramai mengurangkan aktiviti luar dan sentiasa berhati-hati dengan keadaan cuaca pada ketika ini.

“Jadi dalam tempoh ini, hujan dan ribut masih boleh berlaku dan saya mohon semua rakyat mahupun pelancong elak berada di kawasan risiko pokok tumbang sekali gus dapat mengelak daripada sebarang kejadian tidak diingini,” katanya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here