KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan menemui kes pertama mpox varian clade II di negara ini semalam hasil saringan dari 58 kes yang dirujuk sepanjang tahun ini.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, ia dikesan daripada seorang lelaki warganegara yang menunjukkan gejala demam, sakit tekak dan batuk pada 11 September manakala ruam pada 12 September lalu.
“Pesakit tiada sejarah perjalanan ke luar negara dalam tempoh 21 hari sebelum gejala timbul kini sedang dalam isolasi dan berada dalam keadaan yang stabil.
“Semua kontak bagi pesakit ini sedang dikenal pasti dan status kesihatan mereka akan dipantau mengikut tatacara kendali piawai (SOP) semasa yang ketat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Dr. Muhammad Radzi, semua 10 kes di Malaysia sejak 26 Julai 2023 sehingga kini adalah daripada clade Il sahaja.
Jelasnya, individu berisiko tinggi yang bergejala mpox seperti demam, bengkak kelenjar limfa dan ruam atau lepuh perlu segera mendapatkan pemeriksaan dan rawatan di fasiliti kesihatan terdekat.
“Elakkan bersentuhan secara langsung dengan individu yang disyaki atau disahkan dijangkiti mpox termasuk hubungan seksual.
“Mengamalkan kawalan kesihatan kendiri seperti mencuci tangan menggunakan air dan sabun atau cecair pembasmi kuman,” katanya.
Selain itu, katanya, pengamal perubatan di barisan hadapan perlu terus peka terhadap individu bergejala ruam dan lepuh yang datang mendapatkan rawatan, terutamanya dalam kalangan kumpulan berisiko tinggi.
“Bagi kes yang disyaki mpox, swab lepuh, swab oral dan sampel darah atau serum perlu dihantar ke makmal yang menyediakan perkhidmatan ujian pengesanan virus mpox.
“Kes disyaki mpox hendaklah dinotifikasi ke Pejabat Kesihatan Daerah (PKD)berhampiran melalui Sistem e-Notifikasi agar siasatan lanjut sert langkah pencegahan dan kawalan dapat dijalankan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette