Dua kenderaan rosak dihempap pokok tumbang dalam kejadian di Jalan Paya Terubong menghala Relau, Pulau Pinang hari ini.

GEORGE TOWN – Dua lelaki terselamat apabila sempat keluar dari kenderaan masing-masing selepas pokok sebesar satu pemeluk dewasa tiba-tiba tumbang merentangi jalan dalam kejadian di Jalan Paya Terubong menghala Relau di sini hari ini.

Pemandu MPV jenis Nissan Grand Livina itu sempat keluar sebaik pokok tersebut menghempap bahagian hadapan kenderaannya manakala pemandu pacuan empat roda pula kenderaannya rosak bahagian belakang.

Kejadian 8.45 pagi itu menyebabkan jalan dua hala berkenaan tidak boleh dilalui sekali gus mengakibatkan kesesakan lalu lintas.

Anggota bomba melakukan kerja-kerja memotong pokok tumbang di Jalan Paya Terubong menghala Relau hari ini.

Ketua Balai Bomba Paya Terubong, Mohd Shakir Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pukul 9.01 pagi sebelum enam anggota digerakkan ke lokasi.

“Sebaik tiba, kami dapati pokok tumbang melintangi jalan selain terdapat dua kenderaan rosak akibat dihempap pokok tersebut.

“Bagaimanapun, tiada mangsa dilaporkan cedera dalam insiden tersebut susulan pemandu pemandu dua kenderaan itu berjaya selamatkan diri.

Insiden itu menyebabkan jalan dua hala berkenaan tidak boleh dilalui sekali gus mengakibatkan kesesakan lalu lintas.

“Susulan itu, pasukan penyelamat melakukan kerja-kerja pemotongan pokok serta bersihkan lokasi kejadian agar orang awam boleh melalui jalan tersebut,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Terdahulu, tular gambar serta video di media sosial menunjukkan beberapa kenderaan dihempap pokok tumbang dalam kejadian di Paya Terubong dan Butterworth. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here