Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) wajar dikembalikan sebagai penilaian berpusat.

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dasuki berpandangan, ia merupakan pengukur terhadap keupayaan pelajar sebelum ke peringkat sekolah menengah.

“Saya amat setuju untuk peperiksaan UPSR dikembalikan. Perlu ada sistem penilaian berpusat dan terselaras agar dapat mengukur keupayaan sebenar pelajar sebelum ke peringkat menengah,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Baru-baru ini dilaporkan, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, dasar pendidikan negara yang ketika ini yang tidak melaksanakan peperiksaan bagi Tahun enam di sekolah rendah dan tingkatan tiga di sekolah menengah perlu dirombak.

Menurut beliau, keperluan berkenaan selepas mendapati keciciran kira-kira 10,177 calon Sijil Pelajaran Malaysia(SPM) tahun lepas berpunca daripada masalah membaca, menulis dan mengira (3M).

Ahmad Zahid berkata, dapatan itu diperoleh hasil perbincangan bersama Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek sebelum ini.

Sehubungan itu, ujarnya, adalah wajib bagi dasar pendidikan yang tiada peperiksaan untuk Darjah enam (di sekolah rendah) dan tingkatan tiga (sekolah menengah) dan hanya ada (peperiksaan) Tingkatan 5 dirombak.

UPSR mula diperkenalkan pada 1988, manakala PT3 pula mula dilaksanakan pada 2014 bagi menggantikan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR).- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here