Timbalan Menteri Pertanian Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup (tengah) merasmikan Pelancaran Geran Start-Up Dan Geran ScaleUp Agropreneur Muda & Buku Kepelbagaian Flora di MAEPS, Serdang, hari ini.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) melancarkan dua geran baharu di bawah Program Agropreneur Muda dikenali Geran Start-Up dan Geran Scale-Up.

Insentif khusus ini bertujuan membantu golongan muda yang terlibat dalam sektor pertanian dan agromakanan bagi mengurangkan kos permulaan dan mengembangkan projek pertanian sedia ada.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, Geran Agropreneur Muda Start-Up merupakan penambahbaikan dari Geran Agropreneur Muda sebelum ini.

Melalui geran itu, bantuan dalam bentuk barangan dinaikkan kepada RM30,000 serta had umur yang dahulunya dari 18 hingga 40 tahun kini dinaikkan kepada 43 tahun.

“Selain itu, Geran Scale-Up yang diperkenalkan merupakan inisiatif menyokong agropreneur yang kekal aktif dan berdaya maju dalam sektor agromakanan. 

“Melalui inisiatif tersebut, bantuan lanjutan disediakan sehingga RM50,000 kepada agropreneur muda yang pernah menerima Geran Agropreneur Muda untuk mengembangkan projek pertanian,” katanya pada Majlis Pelancaran Geran Start-Up Dan Geran ScaleUp Agropreneur Muda & Buku Kepelbagaian Flora di MAEPS, Serdang, hari ini.

Menurutnya, geran ini khusus kepada agropreneur yang melaksanakan projek huluan iaitu tanaman, ternakan dan perikanan manakala had umur bagi kategori ini ialah antara 21 hingga 45 tahun.

Geran Scale-Up ini bertujuan membiayai penggunaan agroteknologi seperti Controlled Environment Agriculture (CEA), pertanian bandar (urban farming), teknologi berteraskan 4IR seperti (Internet of Things – IoT) dan Artificial Intelligence (AI), teknologi mekanisasi dan automasi serta penggunaan teknologi hijau dalam meningkatkan produktiviti ke arah keterjaminan makanan.

Sehingga September lalu, seramai 9,754 orang agropreneur muda mendapat kelulusan geran dalam bentuk barangan sebanyak RM178.5 juta. 

Tambah Arthur, pihaknya komited untuk menarik dan mengekalkan golongan muda dalam sektor pertanian. 

“Bantuan insentif yang disediakan ini adalah salah satu usaha KPKM untuk meremajakan sektor pertanian dan secara tidak langsung untuk terus memastikan agenda keterjaminan negara dapat dicapai,” katanya. – MalaysiaGazette