Seramai 556 mangsa banjir ditempatkan di 11 PPS di Pulau Pinang.

SEBERANG PERAI – Jumlah mangsa banjir di Pulau Pinang terus catat peningkatan apabila seramai 556 orang daripada 147 keluarga kini terpaksa dipindahkan ke 11 pusat pemindahan sementara (PPS).

Pertambahan itu direkodkan pukul 7.30 pagi tadi berbanding jumlah yang dilaporkan pukul 8 malam iaitu seramai 192 mangsa.

Menurut laporan Sekretariat jawatankuasa Pengurusan Bencana Pulau Pinang, daerah Seberang Perai Utara (SPU) merekodkan jumlah tertinggi iaitu seramai 371 mangsa.

Bagi daerah Seberang Perai Tengah (SPT) seramai 117 mangsa daripada 31 keluarga ditempatkan di PPS manakala bagi daerah Seberang Perai Selatan (SPS) melibatkan 24 keluarga dengan jumlah 68 mangsa.

Semua mangsa banjir SPU ditempatkan di empat PPS membabitkan Sekolah Kebangsaan (SK) Lahar Yooi (237 mangsa), Dewan Banjir Labuh Banting (113), SK Padang Menora (20) dan seorang di Sekolah Agama Rakyat Ar-Ridwan Nyior Sebatang.

Bagi daerah SPT, seramai 33 mangsa ditempatkan di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Permatang Pasir, Dewan Bukit Teh (26), SK Penanti (22), Sekolah Rendah Islam Maahad At-Tarbiah Guar Jering (21).

“Manakala daerah SPS pula, dua PPS dibuka di Dewan MPKK Sanglang dengan menempatkan seramai 39 mangsa dan Dewan Sungai Bakap (29),” katanya dalam kenyataan hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN:

Hampir 200 pokok tumbang di Pulau Pinang sejak Ahad

Semalam, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow memaklumkan pihaknya menerima hampir 200 aduan berhubung pokok tumbang akibat hujan lebat dan angin kencang dalam tempoh tiga hari sejak Ahad lalu.

Katanya, Pulau Pinang turut mencatatkan taburan hujan sebanyak 110 milimeter (mm)  hingga menyebabkan banjir kilat di 71 lokasi di Seberang Perai iaitu 43 kawasan di Seberang Perai Tengah (SPT) dan 28 tempat di Seberang Perai Selatan (SPS). – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here