Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil pada program HAWA Lestari: Kluang Attack di Kampung Melayu Timur 2, Kluang, Johor, semalam.

KLUANG – Program HAWA Lestari perlu dipopularkan dan diperluaskan ke seluruh negara supaya dapat mendidik lebih ramai masyarakat berkenaan pentingnya untuk mengurangkan penghasilan bahan sisa.

Pengerusi Majlis Hal Ehwal Wanita dan Keluarga Malaysia (HAWA), Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil berkata, program itu juga sekiranya dapat diadakan secara berterusan mampu menarik rakyat untuk membudayakan aktiviti pengumpulan barang kitar semula.

“HAWA Lestari ini sangat menarik dan ia merupakan konsep yang perlu kita pelopori dan popularkannya. Jika kita buat program ini dengan konsisten, ia akan dapat menambat hati rakyat.

“Menerusi program ini, kita bawa kesedaran dan pendedahan tentang bagaimana untuk kitar semula bahan-bahan ini dan amat penting untuk ia dijadikan amalan harian,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas melancarkan HAWA Lestari: Kluang Attack di Kampung Melayu Timur 2 di sini, yang turut dijadikan sebagai tempat pengumpulan barangan kitar semula.

Yang turut hadir, Timbalan Pengerusi HAWA, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin dan Pengerusi HAWA Lestari Hasrunizah Hassan.

Selain Kampung Melayu Timur 2, lokasi pusat pengumpulan barangan kitar semula turut disediakan di Taman Ilham, Taman Suria dan Kampung Masjid Lama di sini, semalam.

Menerusi program HAWA Lestari: Kluang Attack itu, HAWA bekerjasama dengan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) antaranya Global Law Thinkers Society dalam mencapai matlamat untuk menentukan alam sekitar dapat dijaga dengan sebaiknya.

Sementara itu, Shahrizat berkata, kesedaran berkenaan kelestarian dan kepentingan menjaga alam sekitar perlu diterapkan dalam semua lapisan masyarakat sama ada di bandar atau luar bandar.

“Kita boleh mulakan dari kampung atau bandar dengan memastikan kita ada program-program kitar semula, janganlah kita nak buang semua, hingga menyebabkan sistem saliran kita tersumbat dan menyebabkan berlakunya isu kebersihan di kawasan setempat,” katanya.

Dalam masa sama, beliau berharap program HAWA Lestari itu dapat diperluaskan ke seluruh negara dengan diuruskan oleh Pengerusi HAWA Lestari di setiap negeri. – MalaysiaGazette

 

 

 

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here