KLUANG – Usang dan seolah-olah terbiar dengan kemudahan asas yang sangat terhad.
Itu gambaran yang boleh diberikan berkenaan keadaan di tingkat atas Terminal Bas Kluang di sini yang menempatkan kira-kira 80 lot perniagaan.
Meskipun terletak di tengah-tengah bandar yang sibuk, namun terminal bas utama itu sunyi sepi tanpa kehadiran pengunjung.
Keadaan itu mengundang resah kepada kira-kira 10 peniaga yang masih lagi bertahan, yang mengibaratkan mereka hanya menunggu masa untuk gulung tikar disebabkan ketiadaan pelanggan.
Seorang peniaga pakaian, Zakaria Awang Chik, 67, berkata, ketiadaan pelanggan di kawasan perniagaan di Terminal Bas Kluang itu semakin ketara beberapa tahun kebelakangan ini terutama selepas pandemik Covid-19.
Jelas beliau, peralihan penumpang kepada perkhidmatan e-hailing berbanding menggunakan bas awam dan teksi juga menyebabkan terminal bas itu semakin dijauhi orang ramai.
“Kalau ada pun hanya penumpang bas ekspres, tapi itu pun tidak ramai dan ada yang tidak naik pun ke tingkat atas kerana mereka tidak tahu ada lot kedai sebab keadaannya yang sangat sunyi dan suram,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini, hari ini.
Tambah Zakaria, kedainya juga kadang-kadang langsung tidak dikunjungi pelanggan dalam tempoh beberapa hari menyebabkan jualannya merosot teruk berbanding sebelum ini.
“Sekarang nak dapat RM100 ke RM200 seminggu pun susah sebab memang tidak ada orang datang ke sini, cuma peniaga di sini bernasib baik kerana sewa lot kedai masih murah berbanding sewa premis komersial lain di sekitar kawasan ini,” katanya.
Sementara itu, peniaga kedai makan, Perose Jusoh, 56, berkata, jualannya juga merosot teruk berbanding beberapa tahun lalu kerana hanya bergantung kepada pelanggan sama setiap hari.
Katanya yang sudah berniaga di kawasan itu sejak kira-kira 20 tahun lalu, masalah utama adalah ketiadaan lif atau tangga bergerak yang menyebabkan orang ramai sukar untuk naik ke tingkat dua lot perniagaan tersebut.
“Sebab itu kalau boleh pihak berwajib segerakan bina lif atau tangga bergerak supaya memudahkan orang ramai terutama warga emas untuk naik ke tingkat atas sementara menunggu menaiki bas,” katanya.
Tambah Perose, dia bimbang jika tidak lagi mampu bertahan dan terpaksa menutup kedai disebabkan ketiadaan pelanggan kerana perniagaan itu merupakan satu-satunya sumber pendapatannya sebagai ibu tunggal.
Keluhan sama dikongsi seorang lagi peniaga kedai makan, Bedah Daud, 66, yang berharap pihak berwajib dapat merubah wajah lot perniagaan di tingkat atas terminal bas itu supaya dapat menarik lebih ramai pengunjung.
Katanya, kebanyakan kemudahan asas seperti kerusi dan meja di kawasan itu sudah terlalu usang dan perlu digantikan dengan baharu supaya orang ramai berasa lebih selamat untuk berkunjung ke kawasan tersebut.
“Kadang-kadang ada pengunjung yang mahu naik ke tingkat atas ini turun semula sebab berasa takut dan tidak selamat dengan persekitaran lot perniagaan di sini yang seolah-olah terbiar dan tidak terurus.
“Saya pun sekarang perlu tutup kedai sebelum pukul 5 petang sebab memang tidak ada sesiapa yang akan datang ke sini dan keadaan semakin sunyi sepi menjelang malam,” katanya.
Sementara itu, calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, Syed Hussein Syed Abdullah berkata, beliau akan membawa keluhan peniaga itu kepada pihak berwajib bagi mencari jalan penyelesaian.
Jelasnya, beliau juga sedia maklum dengan keadaan persekitaran lot perniagaan di terminal bas itu yang usang dan sepi daripada pelanggan disebabkan beberapa faktor antaranya kerana ramai pengguna kini tidak lagi menggunakan perkhidmatan awam.
Sehubungan itu, katanya, beliau akan menjalankan usaha mempromosikan lokasi tersebut supaya dapat menarik lebih ramai pengunjung sekali gus membantu merancakkan ekonomi para peniaga yang masih bertahan di kawasan itu.
“Berkenaan permohonan peniaga supaya disediakan lif atau tangga bergerak, kita juga kena lihat dari segi jangka masa panjang, sebab kalau kita tak berjaya promosi kawasan ini dan menarik semula kunjungan orang ramai, pembinaan kemudahan ini akan menjadi satu pembaziran,” katanya. -MalaysiaGazette