Antara peserta yang menyertai Pahang International Ocean Paddling Festival 2024 terdiri daripada lapan buah negara seperti termasuk dari Thailand, Afrika Selatan, Amerika Syarikat, Hong Kong, China, Indonesia, Singapura dan Malaysia

KUANTAN – Kedudukan pantai yang strategik menjadikan Pahang dilihat berpotensi menjadi gelanggang utama yang menarik minat pelancong dan penggiat sukan kanu dari seluruh dunia.

Exco Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Pahang, Leong Yu Man berkata, kerajaan negeri akan memanfaatkan populariti sukan berkenaan  dalam kalangan negara Asia memandangkan sukan itu semakin digemari.

Justeru Pahang bakal menjadikan sukan kanu polo sebagai salah satu platform terbaik untuk memperkenalkan negeri itu sebagai destinasi pelancongan sukan bertaraf antarabangsa.

”Kerajaan negeri melalui Tourism Pahang dengan kerjasama Persatuan Kanu Malaysia sekali lagi menganjurkan Pahang International Ocean Paddling Festival 2024 bagi mempergiatkan lagi industri pelancongan di negeri Pahang.

“Acara yang telah memasuki penganjuran kali ketiga  ini berlangsung bermula Jumaat hingga Ahad bertempat di Pantai Cherating.

”Pelbagai subacara yang memberi manfaat kepada para pengunjung yang hadir selain daripada acara Perlawanan Kanu bertaraf Antarabangsa dan Kayak Marathon peringkat kebangsaan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Pada kali ini, sebanyak RM89,000 jumlah hadiah wang tunai yang ditawarkan kepada para pemenang oleh pihak penganjur.

Tambah Yu Man, sebanyak lapan negara bakal menyertai perlawanan Canoe Ocean Racing pada Pahang International Ocean Paddling Festival 2024 seperti Thailand, Afrika Selatan, Amerika Syarikat, Hong Kong, China, Indonesia, Singapura dan Malaysia.

Antara kategori yang dipertandingkan adalah Canoe Ocean Racing Antarabangsa (lelaki dan perempuan), Canoe Ocean Racing Kebangsaan (lelaki), Kayak Marathon Kebangsaan (lelaki dan perempuan) dan Kayak Marathon Kebangsaan (campuran) akan berentap bagi memenangi hadiah wang tunai yang lumayan. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here