COLOMBO – Buat pertama kali dalam sejarah negara, pilihan raya presiden Sri Lanka telah memasuki pusingan kedua pengiraan selepas tiada calon yang memenangi 50% tambah satu undi yang perlu diisytiharkan sebagai pemenang.
Suruhanjaya pilihan raya kini melakukan pengiraan pilihan kedua dan ketiga pengundi untuk pemilihan presiden.
Dalam kertas undi, pengundi diminta menandakan sehingga tiga calon mengikut keutamaan semasa pilihan raya.
Pusingan pertama, yang menyaksikan pengiraan calon utama rakyat, didahului Anura Kumara Dissanayake, seorang ahli politik berhaluan kiri.
Ketua pembangkang, Sajith Premadasa berada di tempat kedua.
Bagaimanapun, keputusan penuh pengiraan pusingan pertama masih belum diumumkan kepada umum.
Dalam sidang media, suruhanjaya pilihan raya berkata, semua calon lain, selain Dissanayake dan Premadasa telah disingkirkan.
Undi calon yang tersingkir kini akan disemak untuk melihat sama ada undi keutamaan menengah atau ketiga diberikan kepada kedua-dua calon.
Pilihan raya pada Sabtu adalah yang pertama diadakan sejak protes besar-besaran menggulingkan pemimpin negara, Gotabaya Rajapaksa, pada 2022 selepas negara itu mengalami krisis ekonomi paling teruk.
Kesemua lapan pilihan raya presiden Sri Lanka sejak 1982 telah menyaksikan pemenang muncul semasa pengiraan pusingan pertama.
Dalam pilihan raya ini, sebanyak 17 juta rakyat Sri Lanka layak mengundi dan suruhanjaya pilihan raya negara itu menyifatkan pilihan raya itu adalah yang paling aman dalam sejarah negara.
Namun, polis mengumumkan perintah berkurung lewat malam Sabtu memetik “keselamatan awam”. Ia telah ditarik balik pada tengah hari waktu tempatan (06:30 GMT) keesokan harinya.
Dissanayake menjanjikan langkah tegas anti-rasuah dan tadbir urus yang baik, selari dengan kehendak rakyat Sri Lanka yang menuntut perubahan sistematik sejak krisis.
Keputusan awal menunjukkan, beliau mendahului, mendorong beberapa tokoh terkenal – termasuk menteri luar negara mengucapkan tahniah kepadanya.
Tetapi angka terkini menunjukkan dia kalah kepada Premadasa.
Presiden penyandangnya Ranil Wickremesinghe memenangi 17% undi, meletakkannya di tempat ketiga dalam pengundian. – Agensi