Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bergambar selepas majlis Pertukaran Memorandum Kerjasama (MOC) Transformasi Program TVET antara Kerajaan dengan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan Syarikat Swasta ketika di Sesi Libat Urus antara 66 Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan Syarikat Swasta dengan 12 Kementerian TVET ketika di Palm Garden Hotel, IOI Resort Putrajaya. Foto MOHD ADZLAN, 23 SEPTEMBER 2024.

PUTRAJAYA – Gaji premium kepada lepasan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional Negara (TVET) berjumlah antara RM2,400 hingga RM4,000 akan dilakukan secara perjanjian terus antara institusi TVET dengan syarikat terbabit.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, persetujuan mengenai gaji premium berkenaan tidak akan dilakukan melalui persatuan majikan atau kilang.

“Kita mengadakan perjanjian terus dengan syarikat berkenaan. Memorandum Perjanjian melibatkan lepasan Sijil Kemahiran Malaysia 5 atau Sijil Kemahiran 2, ada skala gaji yang telah dipersetujui.

“Ini bukan ikut persetujuan majikan, atau persatuan kilang, ini antara institusi TVET dan pihak syarikat itu sendiri yang bersetuju dengan gaji premium,” katanya  dalam sidang media, hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Majlis TVET negara sebelum itu mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional Negara (MTVET) Bil. 3/2024, di sini.

Mesyuarat turut dihadiri oleh ahli MTVET melibatkan barisan menteri daripada 12 kementerian berkaitan TVET, tokoh industri, dan tokoh akademia.

Beliau kemudian menyampaikan ucapan pada sesi libat urus 66 syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat swasta.

Pada majlis itu Ahmad Zahid turut menyaksikan pertukaran Memorandum Kerjasama (MoU) Tranformasi Program TVET antara Kerajaan dan tiga GLC iaitu Penang Port Sdn Bhd, Khazanah Nasional Berhad dan Cypark Resources Berhad.

Sementara itu Ahmad Zahid berkata, TVET yang akan ditawarkan dalam Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) bakal melibatkan kursus-kursus berbentuk lakukan sendiri atau DIY.

“Kita ambil keputusan kursus itu bukan secara mendalam tetapi menyerupai DIY – umpama dalam pembaikan sistem perpaipan, alatan pendingin hawa, elektrik dan lain-lain,” kata Ahmad Zahid.

Media sebelum ini melaporkan, pelaksanaan PLKN 3.0 dicadangkan bermula sekitar pertengahan tahun depan, membabitkan fasa pra PLKN di peringkat sekolah terlebih dahulu.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, bagi fasa PLKN asas membabitkan peserta berumur 17 tahun dan ke atas dijangka bermula pada April 2026.

Bagi fasa asas di Institut Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) akan bermula pada pengambilan pelajar sesi akademik 2026/2027.-MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here