KUALA LUMPUR – Persidangan Invest Malaysia 2024 dijangka menarik Lebih 500 delegasi termasuk pelabur berpendapatan tetap, pelabur ekuiti dan ekuiti swasta asing dengan dengan gabungan aset di bawah pengurusan (AUM) melebihi RM56.7 trilion.
Dalam satu kenyataan hari ini, Bursa Malaysia Bhd berkata, edisi kali ini akan dianjurkan bersama Maybank, CIMB Securities dan HSBC Malaysia di Iskandar Puteri, Johor Bahru pada 26 Sept, 2024.
“Ia merupakan penganjuran edisi kelima Invest Malaysia, susulan edisi terdahulu di Melbourne (Mac), China (secara maya, April), Singapura (Ogos) dan Hong Kong (September).
“Bertemakan ‘Where Policy Meets Progress’, persidangan itu menampilkan Iskandar Puteri sebagai gerbang masuk utama selatan negara ini dengan tumpuan kepada Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JSSEZ) dan insentif menarik yang lain untuk pelabur,” katanya.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan merasmikan persidangan berkenaan dan menyampaikan ucaptamanya.
Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Datuk Muhamad Umar Swift berkata kehadiran Anwar ke persidangan itu dijangka menarik pelabur asing dan tempatan dari Malaysia dan seberang tambak, menawarkan pandangan berkaitan landskap makroekonomi dan prospek pasaran Malaysia, terutamanya di Johor.
“Invest Malaysia kekal sebagai acara utama dalam kalendar korporat di Malaysia yang mencetuskan perbincangan bermakna dan meningkatkan keyakinan pelabur dalam pasaran kita.
“Kerjasama dengan rakan kongsi broker seperti Maybank, CIMB dan HSBC Malaysia menyerlahkan komitmen pasaran modal terhadap peluang pelaburan dan pertumbuhan negara,” katanya.
Muhamad Umar berkata siri perbincangan ini akan menawarkan komuniti pelaburan global penghargaan yang lebih tinggi dan pemahaman yang lebih mendalam tentang kelebihan daya saing Malaysia sebagai destinasi pelaburan yang menarik dan mampan.
“Peluang yang dibentangkan bukan sahaja akan meningkatkan perhatian terhadap JSSEZ tetapi juga merangsang pertumbuhan ekonomi keseluruhan di Malaysia,” katanya.
Persidangan itu juga akan menampilkan sesi perbincangan dengan Menteri Ekonomi Rafizi Ismail dan Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi. – BERNAMA