Mohd Khairuddin Othman.- Foto SYAFIQ AMBAK, 25 APRIL 2021.

KUALA LUMPUR – Perkhidmatan Dr. Mohd. Khairuddin Othman sebagai Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi ditamatkan.

Setiausaha PKR Selangor itu dilantik ke jawatan tersebut kira-kira enam bulan lalu bagi mengisi kekosongan selepas penyandangnya, Datuk Dr. Mohammad Agus Yusoff yang meletakkanb jawatan.

Utusan Online melaporkan, Mohd. Khairuddin bagaimanapun tidak memberitahu alasan ditamatkan daripada jawatan berkenaan.

Beliau juga tidak menjelaskan tarikh beliau ditamatkan sebagai ketua pengarah J-KOM.

“Betul. Sudah ditamatkan. Saya bukan KP (Ketua Pengarah) lagi,” katanya.

Beliau menyarankan media mendapatkan maklumat terperinci daripada Kementerian Komunikasi.

Mohd. Khairuddin dilantik sebagai Ketua Pengarah J-KOM pada 1 Mac selepas jawatan itu kosong apabila Mohammad Agus meletak jawatan pada November tahun lalu.

Mohammad Agus mengundang kontroversi selepas tular satu rakaman video perbualan lucah antara seorang lelaki yang dipanggil ‘Wahab’ dengan seseorang mirip Mohammad Agus dan tersebar di media sosial.

Lelaki itu dikenali sebagai Abdul Wahab Abdul Kadir Jilani, 33, bertugas sebagai Penolong Pegawai J-KOM.

Video berdurasi tiga minit tiga saat itu dikongsi Ahli Jawatankuasa Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Badrul Hisham Shaharin atau dikenali sebagai Che’gu Bard menerusi akaun aplikasi Tik Tok miliknya.- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here