Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man bercakap pada sidang media berkenaan Penggulungan Muktamar ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette di Temerloh, Pahang. Foto AIZAT ZAINAL, 15 SEPTEMBER 2024.

KUALA LUMPUR – Kepimpinan Pas menyelar kerajaan Negeri Melaka yang mengenakan tindakan tatatertib termasuk memecat pegawai Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) yang menyiarkan gambar Presiden parti itu, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, ia merupakan tindakan yang tidak munasabah.

“Tindakan Kerajaan Negeri Melaka memecat dan menukar pegawai Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) kerana memaparkan wajah Presiden Pas dalam paparan slaid khutbah Jumaat amat dikesali.

“Tindakan ini gambaran ketakutan Kerajaan Negeri Melaka dengan kebangkitan Pas dan dilihat tidak munasabah. Malahan ia bukanlah satu kesalahan besar jika diteliti apabila para pegawai itu memaparkan imej pemimpin politik yang tepat dan bersesuaian dengan ayat berbunyi.

“Keamanan dan kemajuan negara hendaklah dipertahankan, dan memerlukan pemimpin yang adil dan jujur, masyarakat yang harmoni, rakyat yang berdisiplin dan berbudi mulia,” kata Tuan Ibrahim.

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu mengulas tindakan JAIM ke atas empat pegawai JAIM itu berikutan  isu paparan gambar Abdul Hadi pada infografik slaid khutbah Jumaat, minggu lalu.

Dalam slaid berasingan, turut dipaparkan adalah wajah Yang di-Pertuan Agong Ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah tanpa digantikan dengan gambar Sultan Ibrahim selaku Yang di-Pertuan Agong Ke-17.

Tuan Ibrahim berkata, tindakan tersebut tidak akan diambil sekiranya ia berlaku kepada presiden parti lain yang menyokong kerajaan.

“Jikalau paparan pemimpin yang korup, pernah dituduh rasuah atau mempunyai kes jenayah, itu sebenarnya yang salah. Jika Presiden parti lain yang bersama kerajaan, pasti tidak menjadi kesalahan dan akan dipertahankan.

“Apapun saya berharap pegawai yang dikenakan tindakan tersebut bersabar di atas mehnah yang menimpa mereka. Anda tidak melakukan satu dosa besar seperti mana ramai pelaku salah seperti perasuah, salahguna kuasa dan pelbagai maksiat yang tidak rasa berdosa dan menyesal, bahkan terus gembira meneruskan kehidupan mereka,” katanya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here